Sentuhan Kasih Ramadan! Permaufakatan UiTM, Surau At-Taqwa Shah Alam jayakan aktiviti kemasyarakatan!
Published byUniversiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jalinan erat bersama masyarakat menerusi penganjuran Program Sentuhan Kasih Ramadan yang berlangsung di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam.
Program ini merupakan inisiatif kemasyarakatan yang menekankan aspek permuafakatan antara UiTM dan komuniti setempat.
Program ini yang dahulunya dikenali sebagai Rewang Ramadan kini diperluas dengan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada keterlibatan sosial dan amal kebajikan.
Pemilihan lokasi penganjuran dibuat berdasarkan kedudukan komuniti yang terdekat dengan UiTM, bagi memastikan manfaat program dapat dirasai komuniti berhampiran.
Turut hadir menjayakan program ini ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, barisan pengurusan universiti serta warga UiTM yang berganding bahu bersama masyarakat setempat dalam menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program Sentuhan Kasih Ramadan ini merangkumi beberapa aktiviti utama seperti:
- Sesi tazkirah dan kelas aktiviti keagamaan bagi memperkaya ilmu rohani dalam kalangan peserta.
- Penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim, sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
- Agihan bubur lambuk secara pandu lalu kepada masyarakat setempat.
- Majlis berbuka puasa bersama barisan pengurusan UiTM dan komuniti setempat bagi mengeratkan hubungan silaturahim.
Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM telah menyumbangkan RM4,000 kepada 40 orang anak yatim (RM100 seorang).
Selain itu, pihak Surau At-Taqwa turut menyalurkan bantuan kepada:
- 19 ibu tunggal
- 14 warga asnaf
- 14 anak tahfiz

Objektif utama program ini adalah untuk menyantuni masyarakat setempat dan memperkukuh hubungan silaturahim antara UiTM dan komuniti.
Selain itu, ia bertujuan membentuk semangat bekerjasama serta menggalakkan budaya keprihatinan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Komunikasi Strategik dan Pejabat Naib Canselor UiTM, dengan kerjasama Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS).
Penganjuran program seperti ini membuktikan komitmen UiTM dalam memainkan peranan aktif sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat. - KitaReporters/Kenyataan Media