USIM mahu perkasa AI dalam pendidikan tinggi! Fokus kepada AI Syariah! Bantu isu-isu asas ummah!
Published byPusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah ICT IPTA (MAPITA) telah menganjurkan Hari AI (AI Day) Pendidikan Tinggi 2025 pada 26 dan 27 Februari 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.
Program ini bertujuan membantu institusi pendidikan tinggi mengenal pasti dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) di agensi masing-masing.
Dengan tema ‘From Principle to Implementation’ (Daripada Prinsip kepada Pelaksanaan), program ini memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang kemahiran digital dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi serta mengukuhkan jaringan kolaborasi dengan pihak industri.
Acara ini menghimpunkan 42 agensi di bawah KPT, wakil kerajaan serta peneraju AI dan industri.
Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta didedahkan dengan teknologi dan solusi AI dalam bidang infrastruktur ICT, teknologi pengajaran, keselamatan siber serta pembangunan aplikasi AI melalui sesi pembentangan dan reruai pameran.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, buku ‘Ketahanan Digital – Mengemudi Transformasi Dalam Persekitaran Dinamik’ turut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Buku ini merupakan hasil kajian dan penulisan pakar ICT dari lapan universiti, termasuk USIM, Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
AI berpotensi besar dalam membantu menyelesaikan isu-isu asas ummah, seperti pembahagian faraid, ibadah solat, puasa, haji, dan halal.
USIM berhasrat untuk menerajui AI Syariah dan mengajak pihak industri serta kerajaan untuk bersama-sama membangunkan teknologi ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial (CR) yang berterusan kepada masyarakat, ujar Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, semasa menyampaikan ucapan aluan.
Sementara itu, Ts. Mustapha berkata, melalui penggunaan AI, digitalisasi kampus seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan akan terlaksana.
Kecekapan dalam penyampaian ilmu, peningkatan keberkesanan pendidikan, pengurangan kos operasi universiti, peluang pembelajaran yang lebih fleksibel serta pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat digital masa hadapan, katanya.
“Di Kementerian, kita akan terus komited dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi berasaskan AI melalui pelbagai inisiatif strategik.
"Antaranya adalah dengan membangunkan 200,000 pakar AI menjelang tahun 2030 melalui program My AI Nexus dan Malaysia komited untuk menjadi peneraju dalam bidang AI dengan memperkukuh kerjasama antara sektor akademik dan industri global,” ujarnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmiannya. - KitaReporters/USIM