Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) komited dalam usaha membangunkan penyelidikan berkaitan cabang ilmu pengajian Islam dengan menjalin kerjasama strategik bersama Dar Al-Qari Resources (Dar Al-Qari) melalui satu Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Lounge, Canselori USIM pada 11 Oktober 2023 lalu.

USIM diwakili Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Prof. Madya Dr. Mohd Zohdi Mohd Amin. Manakala, Dar Al-Qari Resources diwakili Dato’ Rizalman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Jailani Jantan.

Melalui jalinan kerjasama ini, sebagai permulaan USIM akan mendapat tajaan melalui geran penyelidikan berkaitan cabang ilmu Pengajian Islam serta bidang-bidang lain yang akan dimuktamadkan untuk tempoh dua tahun berjumlah RM100,000. 

Selain itu, turut mendapat tajaan biasiswa adalah dua orang pelajar siswazah yang meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun buku mengikut surat tawaran selama 8 semester berjumlah RM 21,842, di samping mewujudkan peluang kerjasama antara universiti dan agensi meliputi kerjasama penyelidikan, biasiswa kepada pelajar USIM dan perkongsian kepakaran dan ilmu di bawah Projek Rimba Tarim.



Prof. Ts. Dr. Sharifudin dalam ucapannya berkata, kolaborasi ini telah terjalin bermula sejak 14 Mac 2023 di mana seramai 15 orang pelajar Pengajian Islam dari lima (5) Universiti Awam menjadi penerima biasiswa tajaan Dar Al-Qari Resources dan Yayasan RI.

“Saya amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Dar Al-Qari yang merupakan wadah dalam menjadikan masyarat menjadi masyarakat yang celik al-Quran khususnya dalam kalangan yang telah terlepas mempelajari, mendalami dan mentadabburi kitab suci Allah ini.”

Ujarnya lagi, selaku ‘brain child’ Al-Qari, Rizalman melalui Yayasan RI telah menyuntik dana permulaan sebanyak RM1 juta sebagai tanda komitmen beliau dalam usaha pembangunan dakwah ini bagi memastikan ia berjaya dari aspek perancangan, perlaksanaan dan objektif penubuhan Al-Qari.



Untuk makluman, Dar Al-Qari melalui pusat-pusat pengajiannya yang dikenali sebagai Pusat Pengajian Al-Quran Al-Qari atau ringkasnya Dar Al-Qari ditubuhkan bertujuan menyediakan peluang bagi mempelajari ilmu al-Quran dengan fokus utama kepada golongan dewasa.

Dengan kewujudan Al-Qari, diharapkan akan menarik mereka untuk mendekatkan diri dengan al-Quran dan seterusnya istiqomah dalam membaca, mentadabburi seterusnya memahami dan beramal dengan isi kandungan al-Quran. 

Usaha sama USIM dan Yayasan RI ini juga diharapkan dapat memberi manfaat yang besar buat mereka yang mengikuti pengajian di Al-Qari di sisi Allah S.W.T.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Buku al-Rasm al-Ishari sebagai Asas Penguasaan Tilawah Quran bagi Komuniti OKU Pekak bagi meningkatkan penguasaan asas mereka terhadap keunikan kaedah Tilawah berbantukan Aplikasi Quran Isyarat. - KitaReporters/USIM

10
8
0
18
0

Copy Link: