Pastinya semua orang Islam berkeinginan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.



Oleh: Prof Madya Dr Mohd Farihal Osman

Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM


Menjadi impian setiap Muslim untuk melengkapkan rukun Islam yang kelima iaitu pergi menunaikan ibadah haji di Mekah.

Itulah impian yang menjadi cita-cita untuk dapat berada di Kota Suci dalam keadaan sihat tubuh badan dan berupaya mengerjakan masyarie haji (kerja-kerja haji) dengan baik dan sempurna.

Menurut ayat al-Quran dalam surah Ali Imran 97: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

Ayat di atas menjelaskan kewajipan setiap Muslim untuk pergi menunaikan ibadah haji dan juga kepada mereka yang berkemampuan untuk ke sana. 

Kemampuan terbahagi kepada dua keadaan iaitu kemampuan dari segi kewangan iaitu mampu memiliki sesuatu perkara untuk sampai diri ke Tanah Suci. 

Manakala kemampuan dari segi khudrat iradah diri untuk melakukan kerja-kerja haji seperti tawaf, saie, wuquf, mabit di Muzdhalifah, melontar di Mina ketika mengerjakan ibadah haji di Mekah.


Gambar hiasan... Menunaikan umrah pada usia muda pastinya menjadi impian semua orang.

Senario yang berlaku pada hari ini, ramai berpusu-pusu ke tempat lain dan berlaku usaha mengumpulkan duit untuk pergi melancong ke tempat yang bukan digalakkan dalam Islam. 

Sedangkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud: "Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi iaitu al-Masjid al-Haram, masjidku (Al-Masjid Nabawi) dan al-Masjid al-Aqsa." Hadis di atas mengalakkan  untuk melawat ke tiga tempat suci berikut seperti disebutkan di atas. 

Walaupun telah diterangkan dalam al-Quran dan al-Hadis mengenai tersebut, namum kesedaran persediaan awal masih lagi tidak diendahkan.

Ini adalah melihat peratusan Jemaah yang pergi menunaikan haji dalam kalangan warga emas yang ramai dan mendahului warga muda untuk pergi menunai ibadah haji.

Apakah kejadian ini mengikut trend yang ditinggalkan dan diwarisi orang terdahulu dan apakah warga muda tidak berpeluang pergi menunaikan haji?

Melihat kepada apa yang berlaku pada hari ini di dalam suasana Jemaah haji yang tiba di Tanah Suci Mekah mendapati ramai Jemaah haji yang muda datang dari negara jiran seperti Indonesia. 

Bila diajak berbual dengan jemaah haji muda, mereka menjelaskan dan mengamalkan amalan menabung pada usia muda iaitu pada peringkat sekolah rendah telah diberi pendedahan dan penerangan kebaikan menabung pada usia muda. 

Atas kesedaran ini, ramai mengambil inisiatif bermula dari awal kehidupan iaitu pada zaman kanak-kanak telah mula menyimpan dan menabung.


Gambar hiasan... Sesi pertemuan bersama Naib Canselor UUM dengan delegasi Tabung Haji Wilayah Utara.

Walaupun Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperkenal kempen menabung pada usia muda namun suasana inisiatif tersebut nampak malap dan perlu digilap semula dengan memberi kesedaran dan usaha baharu. 

Kempen menabung pada usia muda untuk menyimpan duit sedikit sebanyak menarik ramai minat anak remaja sekali gus telah menimbulkan kesedaran iaitu amalan menabung dan tidak melakukan pembaziran dan melatih remaja menjadi bijak merancang kewangan peribadi untuk pergi ke Tanah Suci pada usia muda.

Kesedaran ramai menyimpan duit di TH bakal meningkatkan dividen penyimpan pada masa hadapan dan sedikit sebanyak menyumbang kepada pertumbungan ekonomi madani dan mampan di Malaysia.


Prof Madya Dr Mohd Farihal Osman ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM). Tulisan ini adalah pandangan peribadui penulis.


Penulis bersama Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Dato' Seri Syed Saleh Abdul Rahman.

13
17
0
5
0

Copy Link: