SK Proton City dapat modul, tablet! UPSI, NCIA perkasa sekolah rendah! Program empowerNCER Akademik!
Published byPROGRAM empowerNCER Akademik yang dilaksanakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ternyata memberi impak terhadap prestasi pendidikan di negeri Perak.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, sebagai
universiti pendidikan di negara ini, pastinya menjadi tugas dan tanggungjawab
universiti untuk memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada negara
dalam memastikan sistem pada peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
seiring dan senada dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Maka melalui program empowerNCER Akademik ini, fokus pendidikan itu menjadi keutamaan universiti kepada komuniti terutama komuniti setempat,” jelasnya.
Murid-murid SK Proton City hadir pada majlis sumbangan modul mata pelajaran dan tablet di bawah program empowerNCER Akademik. - Kredit foto: Ihsan UPSI
Manakala menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata program empowerNCER Akademik
dapat mewujudkan akses sama rata terhadap pendidikan yang berkualiti serta
memberi peluang meneroka pekerjaan, sekali gus meningkatkan kecekapan demi
mengurangkan kadar pengganguran rakyat di negara ini.
Pada majlis penyampaian modul dan tablet di Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City pada 3 Julai 2024 yang dihadiri Pengurus Besar UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB), Mohd Effendy Datuk Mohamad Zailani mewakili UPSI, Dr Norkhalid berkata melalui pelaksanaan program dan inisiatif itu, 50 set naskhah bagi modul tahun enam yang membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains diberikan.
Selain itu, katanya, 50 unit tablet diberikan bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi menyahut Dasar Pendidikan Digital seperti yang disarankan oleh KPM.
“Modul yang diberikan ini menggunakan kaedah pengajaran secara terbimbing yang bersesuaian dengan akademik murid selain ia juga menekankan tips untuk menguasai mata pelajaran berkenaan,” ujarnya lagi.
Modul dan tablet itu diserahkan oleh Mohd Effendy kepada pihak sekolah menerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPC, Abd Razak Mat Taib.
Mohd Effendy (dua dari kanan) menyerahkan modul dan tablet kepada Abd Razak Mat Taib sambil disaksikan oleh Kamarul Azizi Oree.
Sementara itu, Guru Besar SK Proton City, Kamarul Azizi Oree, ketika berucap beliau menzahirkan rasa sangat berbesar hati menerima sumbangan modul dan tablet itu yang diharapkan memberi manfaat besar kepada murid.
Katanya, dengan sumbangan itu, pihak sekolah dapat
melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pembelajaran yang membabitkan
penggunaan alat digital kerana modul dan tablet berkenaan sangat memberi
manfaat kepada murid malah membuatkan mereka lebih bersemangat dalam mendapat
pendidikan secara digital.
“Kami berterima kasih kepada NCIA yang memberi sumbangan
modul dan tablet di bawah program empowerNCER Akademik.
“Saya berharap melalui inisiatif pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat memberi impak pembelajaran kepada semua murid serta membantu komuniti murid khususnya dalam memartabatkan dan perkasakan pendidikan murid di Malaysia,” ujarnya. - KitaReporters
Mohd Effendy Mohamad Zailani (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama pentadbir PIBG dan SK Proton City.