Tahniah Dr Asma Ismail! Naib Canselor, CEO IMU University! Bagi pacu pendidikan penjagaan kesihatan!
Published byIMU University (dahulunya dikenali sebagai International Medical University) mengalu-alukan kedatangan Naib Canselor baharu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, FASc. yang membawa banyak pengalaman daripada pelbagai institusi terkemuka dan memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, sains dan penjagaan kesihatan.
Wanita berjiwa besar ini adalah pendukung bidang sains yang berdedikasi dan peranannya sebagai Mantan Presiden Akademi Sains Malaysia; mantan Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan terkini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara untuk Malaysia menjadikan Dr Asma cukup berwibawa dalam menerajui era baharu di universiti itu.
Pelantikan ini tepat pada waktunya untuk IMU University yang mula memberi tafsiran lebih meluas mengenai pendidikan penjagaan kesihatan yang holistik, sejajar dengan pendekatan ‘One Health’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut merangkumi program kesihatan haiwan dan alam sekitar, perniagaan, komunikasi dan teknologi.
“Ia adalah satu penghormatan bagi saya apabila diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Saya berazam untuk memberi impak yang bermakna sepanjang perkhidmatan saya di IMU University.
"Matlamat saya adalah untuk membawa universiti yang mantap dan dihormati ini ke tahap seterusnya. Saya mahu menjadikan IMU sebagai universiti pilihan, baik di dalam mahupun di luar negara, untuk pendidikan penjagaan kesihatan melalui komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan yang sentiasa diperbaharui, di samping memberikan pelajar kita pengalaman berharga global yang sebenar dan penglibatan komuniti,” katanya.
Dr Asma mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Prof Dr Abdul Aziz Baba, yang memulakan perjalanan kerjayanya di IMU University pada Julai 2013.
Selama lebih satu dekad, Prof Dr Abdul Aziz yang pada awalnya berkhidmat sebagai Profesor Perubatan, diberi kepercayaan melaksanakan tugas Naib Presiden sebelum menyandang jawatan Naib Canselor dan CEO IMU Education pada tahun 2016.
Kepimpinan dan kemahiran Dr Asma akan membantu IMU University mempertingkat misi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan selaras dengan usaha universiti itu yang sentiasa merangka laluan yang lebih inklusif terhadap kepelbagaian dan kedinamikan hubungan antara manusia dan planet.
Bagi wanita berwawasan jauh ini, dunia pendidikan dan inovasi begitu dekat di hatinya. Dr Asma menjadi penggerak perubahan positif dan tidak gentar untuk mencabar kebiasaan.
Inilah antara kualiti diri yang menjadi tunggak pencapaiannya, termasuklah menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Bahkan beliau juga mencatat sejarah apabila diangkat sebagai wanita Malaysia pertama yang menggalas tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Presiden Akademi Sains Malaysia, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Penasihat Sains Perdana Menteri dan negara.
Dihormatiahli akademik seluruh dunia, beliau juga menjadi ahli lantikan beberapa badan antarabangsa termasuklah Lembaga Gabenor untuk Komanwel Pembelajaran (COL) yang berpangkalan di Vancouver, Kanada dan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pentadbiran untuk Universiti Ritsumeikan Asia Pasifik, Jepun.
Pada tahun 2023, nama beliau tersenarai dalam Forbes Asia ‘Top 50 over 50’ (50 wanita berpengaruh berusia 50 tahun ke atas) dari Asia Pasifik yang mencapai tahap baharu dalam memberi sumbangan kepada bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Dalam kecemerlangan kerjayanya, beliau memulakan banyak penemuan saintifik yang membawa kepada pencapaian 16 paten yang telah dikomersialkan ke seluruh dunia, termasuklah Typhidot, iaitu kit diagnostik pantas untuk demam kepialu (tifoid) yang diiktiraf oleh WHO.
Bahkan beliau juga menerima lebih daripada 270 anugerah dan penghargaan atas pencapaiannya pada peringkat nasional dan antarabangsa, di mana lebih 100 dikaitkan dengan pembangunan dan pengkomersialan Typhidot.
Kini, beliau terbabit dalam penulisan semula Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035, dan menjadi ahli Panel Penasihat Pendidikan Tinggi untuk kemampanan kewangan universiti-universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Kami sangat berbesar hati menerima kehadiran ahli akademik yang terbilang ini ke IMU University. Dr Asma akan membantu membentuk dan mentakrifkan semula aspirasi kami di saat kami melangkah ke fasa baharu pendidikan penjagaan kesihatan.
"Kami tidak sabar menantikan wawasan dan perkembangan yang akan beliau bawa ke institusi yang kami sayangi ini,” kata Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Canselor IMU University.
Untuk masa hadapan, Dr Asma berkata, “Paradigma pendidikan tinggi kini sedang beralih ke pendekatan yang lebih fleksibel dan secara berasingan.
"Dalam pada kita memenuhi keperluan pelajar generasi baharu, sangat penting untuk kita menyemak, membayang dan merangka semula pengalaman pendidikan yang selaras dengan keperluan mereka.
"Masa hadapan pendidikan tinggi terletak pada kemampuannya untuk diadaptasi (disesuaikan) mengikut keperluan pelajar generasi baharu yang semakin berkembang.
"Dengan menerima fleksibiliti, penyesuaian khusus, penyepaduan teknologi, penglibatan komuniti, ruang pembelajaran yang memberangsangkan, kesejahteraan pelajar, bimbingan mentor, pendedahan global dan tumpuan pada kesihatan serta kelestarian planet, kita boleh mencipta pengalaman pendidikan yang bukan sahaja bersedia menghadapi masa hadapan bahkan ia juga bersifat menyeluruh dan memperkayakan ilmu pelajar.
"Pendekatan ini akan melahirkan individu serba boleh untuk memimpin dan berinovasi dalam dunia yang semakin kompleks ini.” - KitaReporters/Kenyataan Media