Pelajar yang menyertai program ini membersihkan sampah di Pantai Morib.


Seramai 97 peserta yang terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Bestari Cares, pengurusan dan pelajar Kolej Kediaman Keempat (Bestari) Universiti Malaya (UM), Kelab Eco Volunteers UKM, Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah berkolaborasi untuk menjayakan program Banting Beach Clean-Up di Pantai Morib, Banting, Selangor pada 11 Januari 2025 lalu.

Pengarah Bestari Cares, Aina Maisarah Yahaya berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai serta melindungi ekosistem marin.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen jawatankuasa pelajar itu untuk memupuk nilai-nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat, sekali gus berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan pelbagai pihak, sambungnya.


Peserta diberi taklimat sebelum memulakan operasi pembersihan.


Manakala Felo Penasihat Bestari Cares, Azura Azilah Ayub ketika mengulas mengenai program ini turut menekankan kepentingan usaha kolektif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

"Usaha penjagaan dan pembersihan pantai adalah langkah penting untuk kesejahteraan komuniti setempat. Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penglibatan pelajar universiti, majlis perbandaran tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) ini kita dapat mengurangkan pencemaran dan memastikan pantai kekal bersih serta selamat untuk semua," ujarnya.


Dr Wan Himratul Aznita Wan Harun.


Dalam pada itu, Pengetua Kolej Kediaman Keempat Profesor Dr Wan Himratul Aznita Wan Harun yang ditemui menyokong penuh inisiatif ini dan menegaskan kepentingan membentuk nilai tanggungjawab serta semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Saya amat berharap Bestari Cares dapat terus menganjurkan lebih banyak aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” ujar beliau.


Setiausaha Kolej Kediaman Keempat Dr Muhamad Hilmi Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan.


Bagi Setiausaha Kolej Kediaman Keempat, Dr Muhamad Hilmi Abdul Rahman pula, beliau berkata usaha ini sebagai usaha yang berterusan dalam memelihara ekosistem.

Katanya walaupun mereka telah melakukan pembersihan pantai dan kawasan ini, namun usaha perlu dilakukan untuk terus menjaga kebersihan secara konsisten supaya supaya tidak terdedah dengan pencemaran semula. 

Usaha yang dijalankan ini turut dihargai Majlis Perbandaran Kuala Langat dengan harapan Bestari Cares dan semua sukarelawan akan menyertai operasi pembersihan seperti ini lagi.


Dari bilik kuliah kepada menyertai program pembersihan di pantai.


Dalam operasi yang dijalankan ini mereka berjaya mengumpul pelbagai jenis sampah termasuk plastik, kaca, pakaian dan sisa makanan sepanjang pantai dalam masa beberapa jam. 

Pada akhir program, semua peserta menerima sijil penyertaan sebelum rakaman gambar beramai-ramai sebagai kenangan. - KitaReporters


Rakaman gambar kenangan selepas menyertai program ini. 

26
11
0
9
0

Copy Link: