Keterlibatan pemain industri halal dan pihak berkuasa agama sebagai rakan strategik Halal USIM adalah signifikan bagi pelaksanaan program Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian (SMSIH) yang merupakan program pertama dalam Mod Industri 3u1i (3 tahun pengajian di universiti dan setahun latihan praktikal/ amali di industri) ditawarkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pertama di Malaysia bagi program pengajian halal.

Bagi memperkukuh hubungan strategik ini, kerjasama yang diterajui Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM mengadakan Majlis Penghargaan dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Pernyataan Hasrat (LoI) bersama dengan 12 rakan strategik Industri Halal bertempat di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 13 Mac 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan industri halal


Pelajar akan ditempatkan untuk tempoh selama setahun di industri bagi meningkatkan ketersediaan mereka memasuki industri dengan pendedahan ilmu serta kemahiran pengurusan operasi industri dan pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan 12 rakan strategik iaitu, Gerbang Alaf Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd, TH Hotel & Residence Sdn. Bhd, Serunai Commerce Sdn Bhd, Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd, Sushi King Sdn. Bhd, Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd, Texas Chicken (Malaysia) Sdn. Bhd, Secret Recipe Manufacturing Sdn. Bhd, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) melahirkan rasa terima kasih di atas keikhlasan dan semangat yang diberikan oleh pihak industri kepada USIM. 

Menurut beliau, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning) berpandukan Garis Panduan Perlaksanaan Program Akademik 2u2i dan 3u1i yang disediakan oleh KPT ini dilihat amat signifikan dan mampu memberi manfaat kepada pihak industri, universiti dan pelajar itu sendiri.

”Saya percaya program seperti ini mampu memberikan pendedahan kepada mahasiswa kita tentang wajah sebenar dunia yang kita diami ini. Selain mengajar erti kematangan dalam berdepan dengan masalah di medan praktikal, program seperti ini mampu membentuk peribadi tahan lasak di kalangan generasi muda kita hari ini.  

"Dengan adanya latihan industri seperti ini, pelajar perlu memetakan ilmu teori dan fakta yang dipelajari di bilik-bilik kuliah dengan praktikal di tempat kerja,” ujarnya lagi.



Sementara itu,Prof Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh Dekan, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang berkata, peluang kerjasama antara USIM dengan pelbagai pemain industri halal bagi tujuan penempatan pelajar sudah bermula sejak Ogos 2022 melibatkan agensi agama, syarikat yang mendapat pensijilan halal dari berskala medium, besar dan multinasional. 

Selain penempatan pelajar, kerjasama ini akan melibatkan penglibatan profesional dan pihak berkuasa dalam bidang halal dari aspek pengajaran dan pembelajaran, aktiviti perkongsian ilmu dan komuniti.

Beliau menambah lagi, sebagai universiti berteraskan ilmu naqli dan aqli, adalah tanggungjawab universiti untuk memastikan bahawa graduan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam Industri Halal. 

Oleh itu, misi fakulti adalah untuk melahirkan graduan syariah yang mampu mengintegrasi ilmu naqli dan aqli dalam bidang tugas sebagai profesional Halal. 

Aspirasi graduan yang bakal dilahirkan nanti diharapkan mampu meneraju minda syariah bersama kemahiran teknikal dalam kerjaya halal, dan menjadi thought leader (pemimpin pemikir) dalam industri yang menjadi prospek untuk negara ini.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini diharapkan menjadi petunjuk penting kepada masa depan pembangunan bakat halal Malaysia yang berkualiti, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan sebagai profesional dan pakar rujuk. - KitaReporters/USIM


 

10
9
0
17
0

Copy Link: