Karya Ts Liu Cheng Hua menjadi koleksi tetap di institusi seni yang berprestij seperti Balai Seni Negara. 


ALUMNI Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Ts Liu Cheng Hua, 39, mendapat pengiktirafan sebagai penerima anugerah Sepuluh Belia Ulung Malaysia atau Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) dalam kategori pencapaian kebudayaan.

TOYM berasal daripada program Sepuluh Belia Ulung Dunia atau Ten Outstanding Young Persons of the World (TOYP) yang dijalankan oleh Junior Chamber International (JCI) dan dibangunkan oleh Durwood Howes (Presiden Jaycees, Amerika Syarikat) pada tahun 1930 dan diadopsi oleh JCI pada tahun 1982.

Liu yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Seni Halus dan Pensyarah Kanan di Institut Seni Lukis Malaysia (MIA), berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pendidik dan seniman yang berkaliber tinggi, memberikan sumbangan yang luar biasa dalam dunia seni visual.


Liu (empat dari kiri) ketika menerima anugerah Sepuluh Belia Ulung Malaysia (TOYM) kategori pencapaian kebudayaan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 21 September 2024.


Liu berkata, sebagai seorang seniman, beliau mencapai kejayaan yang mengagumkan dengan pameran karyanya di pelbagai negara termasuk Perancis, Monaco, United Kingdom, Singapura, Indonesia, Filipina, Jepun, Bulgaria, Mauritius, Hong Kong dan China.

Katanya, pameran yang dilakukannya bukan sahaja menunjukkan bakat kreatif, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta seni antarabangsa.

Karya Liu yang dipamerkan menonjolkan pelbagai tema dan teknik, menggambarkan kedalaman pemikiran serta kepekaan terhadap isu-isu sosial dan budaya.

Karya beliau turut menjadi koleksi tetap di institusi seni yang berprestij seperti Balai Seni Negara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macao serta Galeri Seni Johor. 

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan nilai seni Liu yang tidak hanya disukai masyarakat tempatan tetapi juga diiktiraf oleh peminat seni pada peringkat global.

Karya Liu sering menggabungkan elemen tradisional dan moden, memberikan satu dimensi baharu kepada seni Malaysia dan menjadikannya relevan dalam konteks semasa.


Karya Liu turut menjadi koleksi di Galeri Seni Johor.


Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual pada 2009, Liu seterusnya melanjutkan pengajian peringkat sarjana hingga tamat pada 2013.

Pada November 2023, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Alumni Seni UPSI.

Naib Canselor , Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan rasa bangga atas pencapaian alumni UPSI itu.

“UPSI melahirkan ramai graduan dan alumni yang mengukir kejayaan luar biasa selepas bergraduat sekali gus menggambarkan kejayaan pensyarah dalam melahirkan mahasiswa berketrampilan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian yang diraih ole Liu seharusnya menjadi inspirasi kepada mahasiswa seni visual yang sedang mengikuti pengajian mereka. - KitaReporters

14
16
0
7
0

Copy Link: