Garis panduan aktiviti hiburan/konsert: MPP UniMAP ambil langkah proaktif! Jaga nama baik universiti!
Published by
KitaReporters
--title--
Oleh AININULNIZA MOHD YUSOF
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan garis panduan/tatacara bagi pelaksanaan konsert di dalam kampus bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP Muhammad Alif Zuhaili Shafarin berkata pelaksanaan garis panduan/tatacara konsert di dalam kampus juga telah dibincangkan secara panjang lebar oleh kepimpinan mahasiswa di dalam dewan Persidangan Mahasiswa UniMAP (PERSIMA) yang telah diadakan pada 28 Mei 2023 baru-baru ini dan telah disokong oleh majoriti ahli persidangan bagi pelaksanaan tatacara dan garis panduan ini dibangunkan.
Katanya, ini mendapat sokongan dan bimbingan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar UniMAP bagi menjaga nama baik institusi pendidikan tinggi.
“Walau bagaimanapun, draf bagi tatacara/garis panduan konsert ini masih sedang diperhalusi dan diteliti sebelum diangkat dan dikuat kuasa dalam Kampus UniMAP,” katanya.
YDP MPP UniMAP memberi penerangan Garis Panduan Penganjuran Aktiviti Hiburan kepada Hirman Awang, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) JPT
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah universiti itu menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi ruang kepada pelajar untuk menggubal garis panduan penganjuran aktiviti hiburan.
Hal ini dapat dilihat dengan penglibatan wakil MPP dalam Bengkel Teras Kesejahteraan Pelajar dan Penstrukturan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP akan membuat pemurnian semua Garis Panduan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniMAP yang telah diadakan dari 5 September sehingga 7 September 2023.
“Bengkel ini bertujuan untuk menilai semula pelan strategik UniMAP 2025 bagi teras Kesejahteraan Pelajar.
"Proses penambahbaikan garis panduan dan tatacara yang melibatkan mahasiswa perlu diadakan mengikut kesesuaian semasa dalam memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dilaksanakan dengan jayanya di UniMAP,” kata beliau dalam satu kenyataan, di Pauh Putra, Perlis.
Terdahulu, KPT mengeluarkan kenyataan media agar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta merangka sendiri garis panduan aktiviti hiburan (konsert) melalui penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar agar ia mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ia diguna pakai secara rasmi pada peringkat IPT masing-masing.
Ia berikutan saranan garis panduan bagi pelaksanaan konsert di IPT di bawah KPT yang sebelum ini tular di media sosial telah disalahertikan oleh beberapa pihak sebagai garis panduan yang akhir. - KitaReporters/UniMAP
15
10
0
11
0