Jelajah FPSP x Asasi: The Amazing Studentpreneur! Usaha KUIPs bantu keterlihatan kepada masyarakat!
Published byFakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP) dengan kerjasama Pusat Pengajian Asasi (PPA) dan Bahagian Pemasaran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menganjurkan program Jelajah FPSP x Asasi: The Amazing Studentpreneur Siri 1 yang melibatkan 140 pelajar dari dua sekolah menengah.
Dekan FPSP Dr Farah Mastura Noor Azman berkata, undangan yang diterima ini bukan sahaja memberi peluang kepada KUIPs untuk bertemu dengan pelajar di Perlis ini malah yang penting dapat berinteraksi dengan 140 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.
“Pada tahun lepas (2023) pelajar SMK Tengku Suleiman menghadiri program Mini Carnival Eduprenuer di Kampus Kuala Perlis dan rentetan daripada penyertaan mereka itu, mereka menjemput kami pada hari ini ke sekolah mereka pula,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup program ini pada 27 Jun 2024.
Dr Farah menambah jemputan kali ini dilihat atas kesedaran pentingnya program keusahawanan terutama di Malaysia dan KUIPs pula dijemput untuk berkongsi maklumat mengenai keusahawanan dengan barisan pensyarah dan juga alumni dari sekolah ini yang sedang melanjutkan pengajian di kampus KUIPs yang turut menampilkan Ikon Basis mahasiswa Khairul Danial dan Ikon Asasi mahasiswa Ali Zikri.
Selain itu, program seperti ini bukan sahaja dilihat sebagai perkongsian ilmu malah dapat membuka minda dan seterusnya membuka peluang untuk pelajar yang hadir untuk melanjutkan pengajian di FPSP dan Asasi di KUIPs.
Sementara itu, Pengarah program Muhammad Nurfiqri Mohd Hajar yang ditemui berkata, FPSP menampilkan program seperti ini seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyarankan nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa serta penambahan dalam ilmu keagamaan melalui kesinambungan ilmu pengajian Islam yang ditawarkan pada peringkat Asasi.
“Dengan penganjuran program seperti ini sesungguhnya bukan sahaja membantu keterlihatan FPSP dan Asasi kepada masyarakat sekitar tetapi yang penting dapat menyedarkan masyarakat tentang kewujudan institusi yang berteraskan kebitaraan FPSP dalam ilmu perniagaan di bawah sebuah institusi swasta sebagai kerjaya dalam bidang pengajian mereka,” sambungnya lagi.
Oleh itu, penganjuran program ini sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) sekitar negeri Perlis dalam keperluan bagi meningkatkan bilangan pelajar ke FPSP dan Asasi bagi ambilan yang akan datang.
Antara pengisian sepanjang program ini diadakan ialah forum bicara keusahawanan yang menampilkan jemputan panel daripada industri pembuatan makanan, pertandingan pop kuiz dan sesi ramah-mesra antara mahasiswa FPSP dan Asasi bersama pelajar-pelajar. - KitaReporters