Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Buku al-Rasm al-Ishari: Pra Tilawah Quran Isyarat bagi Komuniti OKU Pendengaran pertama sempena Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kali ke-14 pada 22 Ogos 2024 di Brunei baru-baru ini.

Buku al-Rasm al-Ishari memanfaatkan Isyarat Kod Tangan al-Quran, di mana setiap huruf Rasm Uthmani diwakili melalui isyarat tangan, membolehkan murid berkomunikasi dan memahami bacaan al-Quran tanpa suara.

“Komuniti OKU Pendengaran (OP) khususnya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah atau pelajar OP dewasa yang baru belajar didapati menghadapi kesukaran dan kekeliruan dalam mengenal pasti bentuk dan kedudukan huruf-huruf al-Quran (Rasm Uthmani) yang bersambung-sambung dalam satu kalimah,” kata Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd Raus, Pengarah UMMI.

“Buku ini telah melalui beberapa proses kajian saintifik di mana USIM dengan kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM telah menjalankan penilaian terhadap buku ini bersama komuniti OKU Pendengaran daripada beberapa persatuan OKU Pekak, Guru KAFA MBPK, Guru Pendidikan Khas (Pendengaran), penyelidik dan sukarelawan,” tambah beliau.

Menurut Prof. Madya Dr. Norakyairee lebih 40 naskah buku al-Rasm al-Ishari diedarkan kepada peserta kursus Asas Pengajaran al-Quran Isyarat dan Kursus Asas Pengajaran al-Quran Braille yang berlangsung di Dewan Kuliah Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Brunei.



Perasmian Pesta Konvokesyen UNISSA kali ke-14 telah disempurnakan oleh Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah ibni Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan baginda menurunkan tandatangan pada Buku al-Rasm al-Ishari sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang dilakukan oleh USIM dan Yayasan Faqeh.

Naskhah tersebut juga dihadiahkan kepada Duli Yang Teramat Mulia sebagai simbol komitmen dalam memperkasa pendidikan l-Quran untuk komuniti OKU.

Inovasi ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak usaha untuk memastikan semua golongan, termasuk mereka yang berkeperluan khas, mendapat akses kepada pendidikan al-Quran yang inklusif dan berkualiti.

Inisiatif ini mendapat pengiktirafan setelah dibentangkan dan diluluskan oleh Panel Pakar Syariah (PPS) JAKIM pada kali ke-103 dan turut mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) di Kementerian Dalam Negeri (Bil.108/2.2023). - KitaReporters

12
15
0
14
0

Copy Link: