Dr. Wan Azizah menyerahkan sumbangan bag sekolah, set peralatan alat tulis dan wang tunai kepada salah seorang pelajar SMK Bandar Tasik Selatan diiringi bersama Azman Abidin dan Zahura Md Amin.


Seramai 282 murid daripada hampir 3,000 orang murid di semua sekolah menengah harian di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan persekolahan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang berlangsung di SMK Bandar Tasik Selatan pada 25 Februrai 2025.

Sumbangan tersebut merangkumi beg sekolah, set peralatan alat tulis, serta wang tunai, yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak. 



Kedatangan Dr. Wan Azizah disambut dengan persembahan koir kod tangan membawa lagu 'Gemuruh' oleh Murid Pendidikan Khas dan Silat Gayung Fatani oleh pelajar-pelajar sekolah. 


Sebelum ini satu majlis penyerahan sumbangan persekolahan telah diadakan di Dewan Mastika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melibatkan semua sekolah rendah dan menengah, dengan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak telah memperuntukan sebanyak RM450,000 bagi menjayakan program ‘Back To School’ yang merupakan antara acara tahunan yang diadakan setiap kali tiba musim cuti persekolahan.

“Saya berharap sumbangan ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, tetapi juga menjadi satu kenang-kenangan dan pemangkin semangat untuk adik-adik terus belajar dengan lebih tekun. 

"Bagi mereka yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, manfaatkanlah masa yang ada untuk membuat persediaan terbaik demi kejayaan,” kata Dr. Wan Azizah kepada pelajar-pelajar yang hadir di majlis tersebut. 

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan, Zahura Md Amin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Pudu, Nazri Husin; Pengurus Besar Yayasan Gerbang, Saifulizan Harun; dan Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan. 



Dalam ucapan Dr. Wan Azizah seterusnya, beliau berpesan agar semua murid dapat memberi fokus kepada pelajaran dan pendidikan kerana pendidikan adalah elemen penting yang mampu mengubah masa depan seseorang. 

“Masa depan negara hari ini terletak pada golongan muda yang masih berada di bangku sekolah, golongan belia dan beliawanis dan mahasiswa-mahasiswi yang bakal menjadi pemimpin,” tambah beliau.

Dr. Wan Azizah berharap sumbangan yang diberikan ini menjadi kenang-kenangan serta pemangkin semangat untuk murid-murid terus belajar dengan lebih tekun serta memberi fokus kepada peperiksaan SPM pada tahun ini (2025).



Sementara itu, dalam ucapan aluannya, Azman (kiri) memaklumkan program sumbangan ini merupakan julung-julung kalinya diadakan khusus kepada semua murid Tingkatan 5 di sepuluh buah sekolah harian di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Ia adalah ilham dan keprihatinan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang mahukan kelainan kepada penerima sumbangan yang merupakan murid-murid Tingkatan 5 bagi tahun 2025.” ujar Azman.

Tambah beliau, beg sekolah yang diterima bukan sekadar hadiah biasa -- ia dilengkapkan dengan nama pelajar, nama sekolah, dan kelas masing-masing. 

“Pemberian ini bertujuan mengukuhkan hubungan emosi pelajar dengan sekolah mereka, sekali gus menjadi simbol nostalgia yang boleh dikenang walaupun selepas melangkah ke alam universiti atau kehidupan dewasa. 

“Apabila mereka sambung belajar atau berkeluarga nanti, beg  ini akan mengingatkan mereka kepada SMK Tasik Selatan. Ia bukan sahaja satu kenangan manis, tetapi juga simbol kebanggaan terhadap sekolah yang telah membentuk asas pendidikan mereka,”  akhirinya. 

Dengan adanya sokongan seperti ini, diharapkan para pelajar akan lebih bersemangat untuk mencapai kejayaan, sekali gus mengharumkan nama sekolah dan komuniti mereka. - KitaReporters


Para pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Tasik Selatan. - Kredit foto: FAS.


13
17
0
11
0

Copy Link: