Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) tersenarai dalam keputusan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) 2022 yang diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.

Dalam kenyataan itu, 90 buah atau 86.54 peratus daripada 104 institusi pengajian tinggi (IPT) telah mendapat keputusan berdaya saing manakala sebanyak 14 buah atau 13.46 peratus mendapat keputusan berdaya maju bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) 2022.

Jabatan Pendidikan Tinggi memaklumkan, sebanyak 158 buah atau 90.29 peratus daripada 175 kolej mendapat keputusan berdaya saing manakala sebanyak 17 atau 9.71 peratus kolej mendapat keputusan berdaya maju untuk Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQuest) 2022.




Kata kenyataan itu, keputusan Penarafan IPT Setara 2022 ini menunjukkan lebih 85 peratus IPT mencapai kategori berdaya saing.

“Pencapaian yang memberangsangkan ini membuktikan usaha berterusan kementerian dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

“Keputusan ini juga diharap dapat membina kapasiti yang mapan di samping menggalakkan IPT ke arah pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini berhubung keputusan Penarafan IPT Setara 2022 dan MyQuest 2022.


Bangunan KUIPs di Kuala Perlis. 

Sementara itu Rektor KUIPs Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle melahirkan syukur dan gembira kerana KUIPs turut tersenarai dalam pengumuman ini.

Katanya, perolehan ini juga selaras dengan titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang meminta Pengurusan dan warga kerja KUIPs lebih agresif bagi mencari penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek dan memenuhi syarat untuk mencapai tahap lima dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan dan tadbir urus.

Tuanku bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Ulang Tahun ke-10 Kolej Universiti Islam (KUIPs) baru-baru ini.

Moga kejayaan ini akan menyuntik semangat warga kolej untuk bekerja keras bagi mencapai 2,000 penuntut dalam masa terdekat pula. - KitaReporters/KUIPs



Majlis sambutan Ulang Tahun ke-10 KUIPs. 

13
15
0
12
0

Copy Link: