Dr Azli Ariffin mempengerusikan forum.


PENDIDIKAN berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Usaha itu akan melalui beberapa siri perkembangan yang seiring dengan proses pembangunan negara.

Fasa-fasa yang berlaku dalam sistem pendidikan itu dan kaitannya dengan falsafah serta dasar, adalah sangat wajar untuk didedahkan kepada guru, juga bakal guru yang mengambil kursus profesional pendidikan.

Justeru, Jabatan Pengajian Pendidikan (JPP), Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menganjurkan forum perkongsian ilmu bertajuk “Hala Tuju Kurikulum Kebangsaan 2027” bertempat di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada 26 Februari 2024.

Forum bual bicara itu dirasmikan oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr.  Md Amin Md Taff.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof Dr Md Amin antara lain menekankan betapa pentingnya pembinaan terhadap jiwa dan roh seorang guru dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara.

Beliau berharap daripada pengalaman, penglibatan dan pembelajaran yang dilalui oleh 977 peserta bersemuka dalam forum pendidikan berkenaan serta 150 peserta secara dalam talian yang rata-ratanya guru, juga bakal guru dapat memberikan mereka asas kukuh bagi mendukung usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencapai aspirasi sistem pendidikan dan keberhasilan murid di Malaysia.


Seorang peserta bertanyakan soalan kepada ahli panel forum. 


Forum yang bertujuan berkongsi maklumat, kepakaran dan pandangan bagi membantu pendidik mendapatkan kefahaman menyeluruh tentang misi serta visi pihak berkepentingan untuk merealisasikan hasrat serta hala tuju kurikulum pendidikan kebangsaan 2027, membabitkan ahli panel iaitu Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Mohd Azam  Ahmad;  Timbalan Pengarah Sektor Dasar dan  Penyelidikan Kurikulum, KPM, Dr. Azwan Abdul Aziz; Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Profesor Dr. Abdul  Rahim Hamdan; serta Ketua Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan  Pentaksiran Bilik Darjah Sektor Dasar dan Penyelidikan Kurikulum Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), KPM, Dr. Wan Nor Fadzilah Wan Husin.

Rumusan daripada forum yang disampaikan oleh moderator yang juga merupakan Pensyarah Kanan FPM, Dr Azli Ariffin menyaksikan ahli panel bersependapat bahawa IPGM dan UPSI perlu menyediakan guru yang diperlukan bagi menjayakan kurikulum 2027 dari segi kefahaman, jiwa dan roh keguruan.

Justeru, IPGM dan UPSI mengambil cakna terhadap perkembangan kini sedang dirancang terhadap kurikulum 2027 yang masih dalam persediaan menuju ke garisan permulaan.

Begitu juga dengan kandungan dan latihan guru yang disediakan oleh UPSI dan IPGM hendaklah bersesuaian dengan keperluan kurikulum 2027 serta mendapat sokongan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

Di samping itu juga, jalinan kerjasama yang lebih erat antara BPK, UPSI dan IPGM perlu disuburkan supaya matlamat Insan Sejahtera yang dihasratkan akan dapat dicapai.

Hadir sama pada forum berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin. - KitaReporters


Prof Dr Md Amin Md Taff (empat dari kiri) bersama ahli panel selepas selesai forum di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. 

15
7
0
11
0

Copy Link: