Kebanggaan UPSI! 2 pelajar tahfiz, 1 pegawai Pusat Islam! Terpilih ke UK, Australia sepanjang Ramadan!
Published byDUA pelajar tahfiz dan seorang pegawai menjadi kebanggaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim di Perak apabila terpilih dalam Program Qari-in-Residence di Universiti of Oxford, United Kingdom dan di Education Malaysia Sydney, Australia pada bulan Ramadan 2024 ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata menerusi kerjasama Program Education Mobility Malaysia - United Kingdom - Australia, mereka akan menjadi tenaga pengajar agama dan imam solat tarawih di Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) United Kingdom, Dewan Malaysia Sydney dan Dewan Malaysia Melbourne, Australia sepanjang bulan Ramadan 1445H ini.
Dua pelajar berkenaan daripada program pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan ialah Ikram Hakim Mat Nasir yang akan menjadi 'Qari-in-Residence 1445H' di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom; Nasrul Zikri Mohd Nazri di Dewan Malaysia Melbourne, Australia manakala Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail, akan ditempatkan di Dewan Malaysia Sdyney, Australia.
Prof Norkhalid Salimin (tiga dari kanan) bersama Muhammad Majdan Ismail (empat dari kiri), Ikram Hakim Mat Nasir dan Nasrul Zikri Mohd Nazri pada majlis penyerahan replika tiket penerbangan di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.
Selain itu, katanya, ketiga-tiga warga UPSI itu akan membabitkan diri dalam pelbagai program pendidikan, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan khidmat komuniti yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan pegawai terbabit.
Menurut beliau, UPSI percaya program berkenaan bakal melahirkan golongan huffaz profesional yang bersifat global, melangkaui bilik darjah dan mampu mengangkat martabat al-Quran dari semua sudut.
"Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan Universiti of Oxford, universiti terbaik dunia dan pejabat Education Malaysia Australia kepada UPSI dan Malaysia,” ujarnya.
Beliau berharap
ketiga-tiga wakil UPSI itu dapat menjadi contoh dan melaksanakan tugas dengan
cemerlang sepanjang berada di sana.
Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin yang menyampaikan replika tiket penerbangan di Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, berkata selain menjadi tenaga pengajar pada sepanjang Ramadan, mereka juga akan berperanan sebagai duta kecil UPSI dan Malaysia di sana.
"Selain itu, mereka berpeluang untuk menyertai program dakwah komuniti Islam setempat,” ujar beliau.
Ikram Hakim dan Nasrul Zikri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke United Kingdom dan Australia.
Sementara itu, Felo Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti melahirkan rasa syukur atas kejayaan merealisasikan program itu.
"Alhamdulillah, program Oxford ini adalah di bawah naungan Raja Permaisuri Perak selaku Canselor UPSI. Sebelum ini Imam-imam yang terpilih untuk ke luar negara adalah daripada dalam kalangan huffaz kelolaan JAKIM. Manakala untuk tahun ini penghormatan diberikan kepada dalam kalangan hufaz daripada UPSI, " jelasnya. - KitaReporters