Mana anak Kedah? Mahasiswa ada HAK! Himpunan Anak Kedah! Jom sertai dan berbakti kepada universiti!

Published by
KitaReporters

Dr Ghazali bersama isteri meluangkan masa menghadiri program anjuran HAK di Pangkin Aki Mohd Campsite.


PERSATUAN anak negeri yang terdapat di universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berperanan membantu melahirkan mahasiswa yang aktif dan versatil.

Penasihat Himpunan Anak Kedah (HAK) UPSI, Prof Madya Dr Ghazali Din, berkata menerusi persatuan berkenaan, ahli dapat menimba pengetahuan baharu menerusi pelaksanaan program selain mendapat manfaat kebajikan.

Program Retreat HAK UPSI yang berlangsung di Pangkin Aki Mohd Campsite dihadiri 30 barisan kepimpinan HAK Sidang 2023/2024 yang diadakan secara santai apabila mereka  selesai memegang jawatan bagi sidang berkenaan pada 15 Disember 2024.

Beliau menyeru supaya seluruh mahasiswa anak Kedah yang belajar di UPSI mendaftar menjadi ahli HAK bagi mendapat manfaat dari segi aktiviti dan kebajikan.

"HAK akan membuat pencarian bakat dalam kalangan anak Kedah supaya bakat mereka dapat digilap, malah mungkin terdapat yang berkelayakan mewakili universiti seperti dalam bidang sukan, kesenian dan kepimpinan selain berusaha menjana pendapatan menerusi perkhidmatan bas balik kampung," katanya.

Usaha berkenaan, jelasnya, perlu dibuat supaya mereka aktif sepanjang pengajian selain menyumbang bakti untuk universiti.


Antara aktiviti yang diadakan di dalam sungai bersebelahan Pangkin Aki Mohd Campsite, Tanjong Malim.


Sebagai penasihat HAK UPSI, beliau sentiasa mengikuti dan mendekati setiap program yang dilaksana supaya hubungan akrab sentiasa terjalin selain mengalu-alukan kolaboratif dengan mana-mana pihak.

Mantan Yang Dipertua HAK, Muhammad Sharofi Mohamad Sharif bersyukur exco dan rakan exco di bawah kepimpinanannya pada sidang lalu sudah melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang.

"Program hari ini kami memasak dan menyediakan makanan sendiri selain disediakan oleh penasihat serta isteri, Wan Salmah Wan Puteh yang sentiasa menyokong, di samping membantu setiap aktiviti sejak lebih 15 tahun lalu, " katanya.

Yang Dipertua HAK UPSI Sidang 2024/2025, Muhammad Hafis Mohd Nazurin, berkata barisan kepimpinan sudah menyusun program untuk pelaksanaannya pada sidang ini dan ada yang memberi impak positif kepada ahli. 

"Majlis penyerahan watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan telah diadakan dan seterusnya proses penyusunan takwim aktiviti akan dibuat dalam masa terdekat, " katanya lagi.


Dr Ghazali Din (tengah) bersama-sama barisan Kepimpinan HAK UPSI 2024/2025.

15
18
0
9
0

Copy Link: