Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyambut ketibaan lebih 118,000 pelajar dari seluruh negara yang mendaftar masuk ke kolej kediaman sempena permulaan sesi akademik Mac 2025.

Pendaftaran selama dua hari itu melibatkan pelajar baharu dan lama di semua kampus induk dan cawangan UiTM di seluruh negara. 


Lawatan Ramah Mesra Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi sempena pendaftaran kolej kediaman pelajar baru sesi Mac 2025. 


Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, seramai 38,389 pelajar baharu telah melapor diri pada hari pertama pendaftaran.

“Kita menyaksikan proses pendaftaran yang berjalan lancar hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan kolej, sukarelawan pelajar, serta sokongan teknikal dan logistik daripada jabatan-jabatan terlibat yang bertugas sejak awal pagi. Komitmen dan semangat mereka amat membanggakan,” katanya ketika ditemui di UiTM Shah Alam pada 6 April 2025.

Beliau turut menasihatkan pelajar baharu untuk memanfaatkan peluang menimba ilmu di UiTM dengan penuh disiplin dan iltizam, di samping tidak melupakan harapan dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga.



Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam kenyataannya turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada pelajar baharu, serta mengalu-alukan kepulangan para mahasiswa lama ke kampus.

“Semester baharu hadir bersama semangat baharu. UiTM sentiasa mendokong aspirasi pelajar untuk cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut menyerlah dalam sahsiah dan kepimpinan. Kami percaya kehadiran pelajar-pelajar ini akan terus menyemarakkan budaya ilmu di kampus,” ujarnya.

Pendaftaran pelajar kolej kediaman turut menjadi permulaan kepada pelbagai program orientasi dan suai kenal yang telah disusun bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

UiTM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia, berlandaskan misinya dalam memperkasakan bumiputera melalui pendidikan berkualiti dan inklusif. - KitaReporters/Kenyataan Media


Lawatan Ramah Mesra Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Penolong Naib Canselor UiTM sempena pendaftaran kolej kediaman pelajar baru sesi Mac 2025. 

18
13
0
10
0

Copy Link: