Tolong kami! Bantu Tok Batin ini! Ingin lihat anak-anak Orang Asli suku Kensui genggam ijazah!
Published byTOK Batin dari Kampung Orang Asli di Lubuk Legong, Baling, Kedah, Razali Kulim, 43, melahirkan hasrat untuk melihat anak-anak dari masyarakat suku Kensui terpilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.
“Kami juga ingin melihat anak-anak dalam kalangan kami berjaya mengenggam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), diploma atau pun ijazah dalam program yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya kepada Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin sempena Program Outreach Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim pada 27 Mac 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Orang Asli
Tok Batin Razali Kulim.
Katanya mereka sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli dalam semua aktiviti yang dianjurkan termasuk penganjuran yang melibatkan mahasiswa IPT di kawasan mereka.
Razali berkata, kunjungan Wahi Nordin bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM Prof Dr Zamberi Jamaludin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM Shahidan Shafie memberikan suntikan semangat untuk berusaha agar anak-anak dalam kalangan masyarakat suku Kensui itu akan merebut peluang yang ditawarkan oleh kerajaan.
Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Wahi Nordin.
Sementara itu Wahi Nordin dalam kunjungan itu turut mengulangi saranan pihak kerajaan yang sentiasa menekankan pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara terutama dalam aspek pendidikan yang memberi laluan khas kepada anak-anak Orang Asli ini.
“Kami juga amat terharu dengan hasrat yang disampaikan oleh Tok Batin Razali yang ingin melihat anak-anak dalam kalangan masyarakatnya dapat mengenggam sijil, diploma atau ijazah nanti,” katanya.
Walaupun program selama dua hari pada 26 dan 27 Mac 2022 yang melibatkan19 Universiti Awam (UA), ILKA (2), IPTS (3), KPT, MQA, PTPTN, BEM, JPN dan UPU ini diadakan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, namun Wahi bersama staf UTeM dan UUM bersedia untuk turun ke perkampungan Orang Asli Lubuk Legong itu untuk memaklumkan mengenai laluan khas kepada anak-anak mereka yang ingin sambung pengajian nanti. - KitaReporters