Tahniah USIM! Buat pertama kali tersenarai dalam QS World University Rankings! Kedudukan 1201-1400!
Published byBuat pertama kali dalam sejarah penubuhannya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tersenarai dalam kedudukan 1201-1400 di QS World University Rankings 2024.
Naib Canselor Prof. Dato Ts. Dr. Sharifudin Md
Shaarani berkata, penarafan QS World University Rankings ini membuktikan
keberadaan USIM dalam kedudukan universiti terbaik dunia yang mengangkat dan
memartabatkan institusi ilmu Naqli dan Aqli dalam konteks membangunkan
keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam bidang halal, kewangan dan perbankan
Islam serta dakwah OKU setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas
antarabangsa.
"Tahun ini QS World University Rankings
mengukur prestasi 2,963 institusi pendidikan berdasarkan lima indikator utama
iaitu Penemuan Penyelidikan (reputasi akademik dan sitasi per fakulti), Hasil
dan Kebolehpasaran (reputasi majikan, dan kebolehpasaran graduan) Pengalaman
Pembelajaran (nisbah pelajar dan kakitangan akademik), Jaringan Global (nisbah
staf akademik antarabangsa, jaringan penyelidikan antarabangsa dan pelajar
antarabangsa) serta Kemampanan Penarafan QS," katanya.
Ujarnya lagi, pencapaian sulung yang membanggakan
ini tentunya atas semangat berpasukan dan kerjasama sesama warga kepada
pemegang taruh bagi mencapai aspirasi dan hala tuju universiti untuk bergerak
sederap dan senada bagi memperkasa keterlihatan USIM dalam menyasarkan USIM
sebagai universiti rujukan global pada tahun 2025.
Pada tahun 2020, USIM telah disenaraikan dalam kedudukan 501-550 bagi QS Asia University Rankings. - KitaReporters/USIM