Dalam usaha memberi inspirasi untuk mempromosikan pendidikan inklusif dan memperkasa orang kurang upaya (OKU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, menerusi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Eureka Robotics Centre Cardiff Metropolitan University (CMU), UK.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi robotik dan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk meningkatkan peluang pembelajaran terutamanya bagi orang kurang upaya.

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menyatakan jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanah air serta hab pembangunan bakat.



“Perjanjian kerjasama antara USIM dan CMU ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha memartabat pendidikan inklusif.

"Kedua-dua institusi bergabung tenaga, menerusi kerjasama latihan dan penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi, dalam penggunaan teknologi robotik dan pendidikan STEM bagi memperkasa individu kurang upaya dan menyediakan mereka akses yang sama kepada pendidikan berkualiti,” jelas beliau selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di CMU, UK.



Turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani mengulas, sebagai institusi pendidikan tinggi awam yang berteraskan Sains Islam, USIM sentiasa mencari ruang bagi memupuk minat masyarakat dalam sains dan teknologi, terutama dalam kalangan orang kurang upaya dan kurang berkemampuan. 

“USIM yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, sentiasa prihatin dengan masyarakat sekitar, terutama golongan OKU dan kurang berkemampuan, yang memiliki akses terhad terhadap teknologi terkini. 

"Perkongsian dengan CMU ini merupakan langkah penting ke arah menyemarakkan pendidikan STEM menerusi teknologi terkini robotik, bagi menggalakkan keterangkuman dan memperkasa orang kurang upaya,” jelasnya. - KitaReporers/USIM


 

15
8
0
7
0

Copy Link: