Sokong? Tak sokong? Alumni baharu vs alumni lama? Penggabungan Masscom dengan 2 fakulti lain UiTM!
Published byMAJLIS gilang gemilang dan penuh keceriaan sambutan 50 tahun Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media atau lebih dikenali dengan nama Masscom pada 24 September 2022, dikejutkan dengan pengumuman penggabungan Fakulti berkenaan dengan dua lagi Fakulti di UiTM.
Pengumuman yang dibuat oleh VC UiTM Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor di sebuah hotel di KL Sentral mendapat pelbagai reaksi daripada alumni yang ada di situ.
Sebahagiannya bersetuju namun ada juga yang melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana Fakulti Masscom sudah 50 tahun mengukir nama dalam pendidikan Komunikasi dan Media di negara kita dan telah banyak melahirkan golongan profesional yang hebat dalam bidang media dan bidang-bidang lain.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan universiti UiTM
Penggabungan Fakulti Masscom, FKSM dan Teknologi Maklumat hangatkan Alumni! Berikut penjelasannya!
Seorang Pegawai Komunikasi Korporat sebuah agensi kerajaan dan bekas pelajar Masscom yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul memberitahu, dia setuju dengan penggabungan berkenaan kerana dia dapat melihat banyak kebaikan dalam pengabungan berkenaan.
Bagi beliau dunia sedang mengalami banyak perubahan dan seiring dengan itu Masscom juga perlu berubah dan memberi nilai tambah pada pelajarnya untuk menjadi graduan yang mahir dalam pelbagai bidang khususnya digital.
Beliau juga setuju dengan faktor nilai tambah yang diberikan Fakulti untuk mengukuhkan faktor penggabungan berkenaan iaitu, nilai tambah yang perlu ada pada graduan Masscom seperti aplikasi dan teknologi digital, data analitikal, media intelligence, penghasilan kandungan digital dan pengurusan data, maklumat dan komunikasi.
Bagi Faizul, ini semua adalah nilai tambah pada graduan Masscom untuk lebih berdaya saing pada masa akan datang.
"Pasaran pekerjaan sangat sengit pada masa ini dan masa akan datang. Jika pelajar dan graduan tidak diberi nilai tambah sebegini mungkin sukar untuk mereka mencari kerja dalam masa 5 tahun akan datang," katanya lagi.
Bagi Shahidah, seorang lagi graduan Perhubungan Awam Masscom, beliau juga bersetuju dengan pendapat Faizul dan berpendapat sudah tiba masanya satu perubahan dilakukan untuk menjenamakan Masscom sebagai sebuah bidang penggabungan kepakaran.
Nama baharu Kolej Komputer, Informatik dan Media bersesuaian dengan tiga Fakulti itu akan membuatkan pelajar dan graduannya lebih versatile dan berdaya saing.
Beliau menyeru alumni Masscom agar tidak terlalu bernostalgia dengan Masscom lama yang tidak akan dapat membantu masa depan graduan fakulti itu yang bakal bekerja 5 atau10 tahun lagi.
"Masa berubah dan Masscom juga harus berubah seiring dengan arus perkembangan zaman dan dunia IT.
"Orang lama dalam bidang Masscom mungkin telah selesa dengan apa yang mereka telah capai dan lalui, tapi bagaimana dengan generasi Masscom sekarang yang terlalu banyak persaingan dalam dunia pekerjaan.
"Mereka memang perlu ada ilmu lain selain yang mereka dapat di Masscom. Itulah nilai tambah yang saya lihat UiTM nak buat bagi membantu graduannya nanti," jelasnya.
DATUK NASIRUDDIN JANTAN
Sementara itu seorang alumni kewartawanan Masscom, Datuk Nasiruddin Jantan memberitahu, sepatutnya, Fakulti Komunikasi dan Media mesti berdiri sendiri tanpa penggabungan.
"Kalau nak suruh budak-budak Masscom cekap buat data analytic dan lain-lain masukkan sahaja subjek tu dalam salah satu semester. Mereka tetap dapat nilai tambah di situ," katanya.
"Sebab tu, saya kata, penggabungan tak semestinya memberi kekuatan kerana kadangkala kita terlepas pandang benda yang penting bila digabung dengan perkara kurang penting.
"Setahu saya, data analytic bukan kerja budak Masscom atau Media. Itu kerja bahagian statistik, menterjemah angka ke dalam naratif.
'Kita di Masscom dilatih untuk Perang Persepsi, Mencipta Propaganda, Daya Kreatif, Event Management dan lain-lain. Jadi bila gabung, kita akan hilang hala tuju," tegas Nasiruddin lagi.
Bagi bekas pensyarah Pusat Bahasa yang juga alumni Masscom, Datin Ummi Najah Salleh, Masscom adalah antara institusi pendidikan media yang tertua di negara kita.
"Sudah 50 tahun bertapak dan telah melahirkan ramai golongan profesional dalam media," katanya.
Baginya Masscom sudah ada " branding" tersendiri, penggabungan itu tidak perlu namun lebih baik memberi kursus tertentu yang diperlukan sebagai nilai tambah dalam diri pelajar Masscom.
"Misalnya kursus IT dan sebagainya yang diperlukan dalam dunia media yang sedang pesat membangun. Jangan lenyapkan identiti masscom sebagai sebuah bidang tertentu dalam peringkat tertinggi pendidikan," jelas beliau.
ZAKARIA ABDUL WAHAB
Mantan Ketua Pengarang BERNAMA Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata bidang tujahan baharu yang diberikan oleh Masscom akan menenggelamkan atau dilute nama Masscomm sebagai institusi terbaik bukan sahaja di UITM tetapi dalam negara sebagai pusat melahirkan komuniti pakar media negara dalam semua bidang.
"Selepas ini graduan Masscomm di bawah fakulti ini mungkin tidak dikenali lagi seperti zaman kita dulu terutama dalam aspek marketability dan professionalismenya. Dulu orang respect dan laku kalau sebut kita graduan masscomm UITM," ujarnya.
Zakaria juga memberitahu nilai tambah dalam Masscom memang pendekatan baharu yang harus dipelajari oleh wartawan masa depan kerana itulah kaedah dalam bidang komunikasi atau media sekarang.
Tetapi, katanya, ia boleh saja diletakkan sebagai pengajian di bawah Fakulti Masscomm.
"Tak perlu didakwa sebagai ia subjek pengkomputeran," katanya lagi.
Bagi Zakaria, gajet-gajet ini atau proses-proses pengkomputeran bukan tugas wartawan atau penulis.
Oleh itu beliau berpendapat Fakulti Masscom perlu "stand alone" dan tidak digabung dengan mana-mana Fakulti dan bagi meneruskan legasi Masscom sebagai sebuah fakulti pendidikan media terunggul di Malaysia.
Penulis berpendapat dari pandangan yang diberikan, generasi muda lebih bersetuju kepada penggabungan ini kerana mereka melihat ia sebagai satu perspektif baru dalam dunia pendidikan.
Mereka juga sangat bimbang jika graduan Masscom tidak dipersiap dengan nilai tambah dalam beberapa bidang lain mereka akan sukar mendapat pekerjaan dalam dunia media yang sangat mencabar ini.
Bagi Alumni yang sudah berpuluh-puuh tahun bertapak dalam dunia media pula, mereka yakin identiti Masscom tidak akan hilang dan pudar malah akan lebih menyinar jika berdiri sendiri tanpa penggabungan, kerana tapak atau tunjangnya sudah kukuh.
Apa yang perlu hanya penambahan subjek yang bersesuaian dengan perkembangan media terkini serta peralatan canggih dalam dunia media.
Apapun kita serahkan pada UiTM untuk membuat satu dasar yang terbaik untuk semua pihak.
Ibarat kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak."
Pihak tertentu perlu juga mengambil kira pendapat semua pihak, dan mengkaji kesan buruk baiknya dan sebagainya.
Ini kerana jika tersalah langkah banyak yang akan kerugian. Bukan sahaja dari segi masa, usaha, kewangan dan implementasinya tetapi UiTM mempertaruhkan masa depan pelajar-pelajar yang menjadi "bahan kajian" perancangan ini. - KitaReporters