Penyelidikan korpus sebagai platform pemikiran dan perpaduan sejagat! Jadi agenda dan paradigma UPSI!
Published byPENYELIDIKAN bahasa berasaskan korpus yang diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024 (iCRC 2024) melambangkan satu gagasan pemikiran yang sejagat dalam menyatupadukan dan mengharmonikan persefahaman antarabangsa.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy
Kandasami, berkata kementerian itu sentiasa cakna dan memandang berat peranan
bahasa dalam konteks perpaduan.
“Kepelbagaian bahasa di Malaysia bukan sahaja lambang semata-mata, tetapi sebuah pemikiran dan identiti masyarakat majmuk yang mendiami tanah ini sendiri,” katanya dalam ucapan merasmikan iCRC 2024 anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, pada 24 Julai 2024.
Saraswathy Kandasami merasmikan iCRC 2024 di Scholar's Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Menurut beliau, penyelidikan tentang bahasa harus
dirancakkan secara berterusan bagi menyumbang satu makna berwawasan untuk
pendidikan, kelestarian perpaduan dan pembangunan insan.
Tambahnya, dia yakin dan berharap supaya persidangan itu
dapat mewujudkan kerjasama, perkongsian fikiran dan meluaskan jaringan ilmu serta
penyelidikan dalam kalangan sarjana tempatan mahupun antarabangsa.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya pula, yang disampaikan Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad, berkata UPSI sudah lama memperkaya dan mengangkat bahasa Bumiputera dan bahasa pribumi, termasuklah bahasa etnik di Malaysia dalam gelanggang pendidikan dan akademik.
Katanya, pada tahun ini, Fakulti Bahasa dan Komunikasi menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) iaitu penajaan RM7.5 juta kepada bakal pelajar untuk melanjutkan Pengajian Bahasa Etnik di UPSI.
Saraswathy menyampaikan anugerah Adi Cendekia kepada Debbie Grace Frederick Matt.
“Hari ini UPSI juga sudah berjaya memperkenal hampir 10 bahasa dalam program pengajian, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Cina, Arab, Sepanyol, Jerman, Jepun dan bahasa etnik, khususnya Kadazan-Dusun, Iban serta orang asal Semai.
“Saya yakin persidangan ini menjadi satu agenda dan
paradigma UPSI yang bukan sahaja untuk melonjakkan penyelidikan bahasa, malah
daya usaha UPSI untuk mengharmonikan kesefahaman dan mewujudkan jaringan serta
memupuk perpaduan,” ujarnya.
iCRC 2024 menyaksikan ucaptama disampaikan oleh Dr Robbie
Love dari Aston University, Dr Andrew
Hardie (Lancaster University, United Kingdom), Prof Elena Semino (Lancaster University) serta
Prof Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad dari UPSI selain 61 kertas kerja
dibentangkan dalam persidangan empat hari itu.
Pada majlis itu, Saraswathy turut menyampaikan Anugerah Adi Kirana (Distinguished Scholar Award) kepada Handoko Handoko dari Universitas Andalas dan Lau Su Kia serta Sheena Kaur dari Universiti Malaya.
Mereka membentangkan kertas kerja bertajuk "Corpus
Analysis of Environmental Lexicon in Classical Minangkabau Kaba: Unveiling a
Community's Connection to Nature".
Anugerah Adi Cendekia (Outstanding Scholar Award) pula dimenangi oleh Debbie Grace Frederick Matt dari UPSI menerusi kertas kerja bertajuk "Analisis Kolokasi Kata Ngagai Dalam Buku Teks Bahasa Iban Sekolah Menengah". - KitaReporters
Antara peserta dan pembentang yang menyertai iCRC 2024 merakamkan kenangan bersama Saraswathy.