Nurul Nabila Tarmizi merupakan salah seorang graduan Sarjana Psikologi yang bakal meraikan kejayaannya di Majlis Konvokesyen ke-22 Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Namun, kejayaan itu lebih bermakna apabila dilihat dari sudut pengorbanan dan kegigihannya dalam meneruskan pengajian sambil menguruskan anak kecilnya, Danish, yang didiagnosis dengan Autism Spectrum Disorder (ASD). 

Dilahirkan dalam keluarga kategori B40 di Besut, Terengganu, Nurul Nabila adalah anak sulung dari tujuh beradik. 

Walaupun datang dari latar belakang yang serba sederhana, anak kepada seorang buruh itu melihat peluang pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib keluarga. 

Nurul Nabila berjaya melanjutkan pelajaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Besut, hingga ke Universiti Sains Malaysia (USM), di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Forensik pada tahun 2015.

Namun, selepas tamat pengajian, Nurul Nabila memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi menjaga anak-anaknya. 

Perjalanan hidupnya berubah pada tahun 2020 apabila beliau mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah di UMT, di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Madihah Muhammad Shukri.



Menurutnya, keputusan untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana bukanlah satu pilihan yang mudah. 

“Saya terpaksa menangguhkan hasrat tersebut apabila anak kesayangan, Danish, disahkan menghidap ASD," jelasnya.

Baginya, laporan klinikal yang dimaklumkan oleh badan perubatan adalah satu cabaran besar dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sebagai ibu kepada anak autistik. 

“Namun, selepas setahun berlalu, saya dan suami, Sir Nik Mazlan, mula menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut," tambah beliau.

Sepanjang tempoh lapan semester sebagai pelajar pascasiswazah, Nurul Nabila sering kali membawa Danish ke perjumpaan bersama penyelia dan menghadiri aktiviti universiti. 

“Malah, saya turut memimpin tangan Danish ketika menyertai persidangan penyelidikan antarabangsa,” katanya.



Walaupun berdepan dengan cabaran luar biasa, Nurul Nabila berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang selain terlibat aktif dalam Kelab Pascasiswazah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) UMT dan menerbitkan beberapa artikel pada jurnal berindeks Scopus dan Web of Science.

Namun, Nurul Nabila tidak dapat menghadiri Majlis Konvokesyen ke-22 UMT kerana faktor penjagaan anaknya. Walau bagaimanapun, beliau tidak melihat perkara ini sebagai halangan, sebaliknya beliau yakin akan ada peluang lain pada masa hadapan.

“Perjalanan saya sebagai ibu dan pelajar sangat istimewa. Walaupun sukar, saya berterima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan, terutama sekali suami dan penyelia saya, Prof. Madya Dr. Madihah yang memahami keadaan saya dan sentiasa memberi dorongan.

“Pendidikan adalah kunci kepada peluang dan ia adalah tiket keluar daripada kemiskinan. Keberanian, kegigihan, kesungguhan meneruskan perjuangan walau berdepan cabaran yang tidak mudah. 

"Dengan keazaman dan sokongan yang kuat, tiada apa yang mustahil untuk dicapai,” kata Nurul Nabila. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
13
0
10
0

Copy Link: