16 tahun tertangguh! Mercu tanda ikonik, terbaharu UPM! Menara Jam Warisan Budi bakal gah berdiri!
Published byHampir 16 tahun tertangguh pembinaannya bukan satu jangka masa yang singkat. Pelbagai rintangan dan cabaran dilalui namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat dan azam warga Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melihat Menara Jam Warisan Budi berdiri gah!
Majlis serah tapak pembinaan kerja-kerja pembinaan
menara ini telah pun berlangsung pada 23 Ogos 2023 lalu di Umai Café, Kolej Tan Sri
Aishah Ghani (KTAG).
Simbolik penyerahan tugas pembinaan ialah daripada Pengarah Pembangunan Aset UPM, Ir. Maznah Sahran kepada Pengarah Urusan Syarikat Fitrah Bitrade Sdn Bhd, iaitu kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan keseluruhan pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2024.
Prof. Dr. Roslan Sulaiman
memegang ilustrasi Menara Jam Warisan Budi Putra yang bakal siap April 2024.
Majlis yang penuh bersejarah bagi UPM ini turut
disaksikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman dan
juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud.
Kos pembinaan menelan belanja hampir RM1.6 juta dan
lebih istimewa serta memberi erti mendalam apabila kos ini adalah sumbangan
daripada alumni UPM daripada pelbagai latar dan bidang.
Kebersamaan para alumni telah berjaya membangunkan
menara ini berhadapan bangunan pentadbiran utama UPM. Bakal menjadi sebuah
menara yang ikonik dan menjadi satu pusat sehenti untuk para pelajar UPM
berkumpul, berdiskusi dan menjadi tumpuan pelajar pada hari konvokesyen.
Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku entiti di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, telah diberikan amanah serta tanggungjawab dalam mengawal selia proses pembinaan menara jam ini.
Tidak berseorangan, mereka mendapat kerjasama dari Pejabat Bursar UPM, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Aset UPM, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, Pusat Strategi dan Komunikasi Korporat UPM, UPM Holding, Perunding Utama dari Baderulzaman Arkitek dan para alumni UPM.
Libat sama kehadiran pelajar bagi menyemai semangat
kebersamaan.
Akhirnya pada 23 Ogos 2023, projek ini telah
menampatkan keberhasilan dan bakal siap pada tarikh dan jangkaan yang telah
ditetapkan.
Menurut Dr. Arba’ie, pembinaan Menara Jam Warisan Budi ini penting kerana ini adalah satu interpretasi daripada seluruh alumni UPM dalam usaha menyatakan kebersamaan mereka dalam bersama-sama membawa nama UPM ke peringkat tertinggi sebagai sebuah universiti awam terbaik di Malaysia dan juga pada peringkat antarabangsa.
“Ini adalah simbolik kepada penyataan para alumni
UPM yang ingin menzahirkan bahawa mereka bersama-sama dengan universiti dalam
pelbagai usaha dan hasrat untuk membangun anak bangsa," tambahnya.
Menara yang menelan kos pembinaan besar ini menjadi
satu tanda kejayaan yang luar biasa telah dizahirkan dan bakal dimanfaatkan
oleh seluruh warga UPM terutama kepada pelajar UPM.
"Pusat Perhubungan Alumni perlu terus siap siaga dalam
menjadi sebuah entiti penghubung antara alumni dan universiti. Dengan kekuatan
pelbagai aktiviti dan program yang ada, penglibatan alumni perlu lebih
dimaksimumkan lagi agar ‘budaya menyumbang dengan seluhur budi’ itu terus dapat
disemarakkan lagi,” katanya lagi.
Lebih memberi makna lagi, majlis serah tapak ini juga berlangsung pada tarikh penuh makna kepada Pusat Perhubungan Alumni, apabila ia jatuh pada tarikh akhir perkhidmatan Dr. Arba’ie yang telahpun bersara wajib pada 23 Ogos 2023. - KitaReporters
Para pegawai UPM turut hadir tanda memberi sokongan.