Projek Transformasi Changloon! Sukarelawan staf UUM jadikan Changloon bandar, masyarakat berilmu!
Published by.
Seramai 90 staf akademik dan pentadbiran telah mendaftar sebagai sukarelawan Projek Transformasi Changloon (CTP) UUM Living Campus di bawah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA).
Pengarah CeTMA, Prof Madya Dr Masnita Misiran ketika ditemui berkata, penyertaan mereka ini adalah secara sukarela yang bermatlamat untuk bersama-sama membantu bagi menjayakan CTP yang bermatlamat menjadikan Changloon di Kedah sebagai sebuah bandar berilmu menjelang 2030 dan masyarakat berilmu menjelang 2035.
Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan (dua dari kiri) ketika melancarkan Projek Transformasi Changloon (CTP) di Changloon.
Prof Madya Dr Masnita Misiran.
Katanya, walaupun kalangan pelajar universiti ini memohon untuk menyertai sebagai sukarelawan namun peluang ini diberikan kepada pihak staf kampus ini dahulu.
‘Kami tidak menolak untuk menerima kalangan mahasiswa di universiti ini kerana mereka juga sebahagian dari komuniti UUM malah penyertaan mereka pastinya akan memperlihat kepada masyarakat sekitar mengenai keprihatinan mereka untuk bersama-sama membangunkan CTP ini,’ sambungnya lagi.
Dr Masnita menambah CTP ini berfokuskan kepada empat teras utama transformasi iaitu sisa, ilmu, sosial, dan pelancongan.
Melalui teras-teras ini beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya program komuniti di Laka Selatan anjuran sukarelawan Pusat Asasi UUM, kursus pengurusan akaun untuk peniaga kecil di Changloon, pameran kesedaran sosial, pengumpulan barangan kitar semula dan pengumpulan e-waste.
Dalam menyelaraskan setiap teras ini pula pihaknya telah melantik ketua untuk memastikan program atau teras yang mereka dipertanggungjawabkan berjalan dengan lancar.
Bagi Teras Transformasi Sisa, yang mempunyai 17 ahli sehingga kini, diketuai Prof Ts Dr Rizal Razali yang akan bertanggungjawab dalam pengendalian sisa, Prof Dr Fauziah Abdul Rahim dengan keahlian 26 (ilmu), Prof Madya Ts Dr Mohamad Farizal Rajemi 21 sukarelawan (sosial), Pelancongan 19 sukarelawan diketuai oleh Dr Muhammad Fauzi Mokhtar dan Media pula diketuai oleh Nassarudin Ab Rasif dengan tujuh sukarelawan.
Kesemua ketua teras ini akan bertanggungjawab untuk memupuk hubungan erat antara UUM dan masyarakat Changloon melalui program-program berimpak tinggi yang menyokong pembangunan lestari ini agar tercapai menjelang tahun 2035.
Antara aktiviti yang akan dilaksanakan nanti termasuk bengkel kemahiran, program celik IT, kempen kebersihan, projek keusahawanan, program masuk U dan program-program lain yang akan memberi peluang kepada masyarakat berhampiran universiti ini untuk membina rangkaian, meningkatkan kemahiran komunikasi dan memupuk semangat kerja berpasukan.
Dalam pada itu, staf yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi pihak CeTMA untuk bersama-sama memacu perubahan positif dalam masyarakat setempat. - KitaReporters
Sukarelawan CPT mendekati masyarakat Changloon.