Inovasi perhutanan berasaskan AI! TM R&D-MMU memenangi Malaysia Technology Excellence Awards 2025!
Published byTelekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), anak syarikat kepada MMU, telah memenangi kategori berprestij ‘Kecerdasan Buatan (AI) – Perkhidmatan Alam Sekitar’ pada Malaysia Technology Excellence Awards (MTEX) atau Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2025.
Pengiktirafan ini meraikan kejayaan TM R&D dalam Smart Forestry AI Tools Enhancement, yang mentransformasi penilaian perhutanan dan menyokong pemuliharaan biodiversiti di Malaysia.
Inovasi yang memenangi anugerah ini menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan penilaian perhutanan – satu langkah penting dalam usaha memelihara kekayaan biodiversiti negara.
Dibangunkan bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), penyelesaian ini menangani cabaran utama dalam pengumpulan data pokok, terutama pengukuran diameter paras dada (DBH), yang penting untuk pengiraan stok hutan, keluasan asas, biojisim, dan stok karbon.
Nick Atkinson, Contributing Editor, Asian Business Review (kelima dari kanan) menyampaikan anugerah Malaysia Technology Excellence Award 2025 bagi kategori AI - Perkhidmatan Alam Sekitar kepada Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah di Kuala Lumpur, 20 Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah, menzahirkan penghargaan beliau atas pencapaian ini: “Di TM R&D, kami komited dalam memanfaatkan AI untuk mencipta impak sebenar.
"Anugerah ini mengukuhkan lagi dedikasi kami dalam memacu inovasi yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan keselamatan penilaian perhutanan, malah menyokong kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti. Melalui teknologi AI, kami memperkasakan usaha pemuliharaan dan menyumbang kepada agenda tindakan iklim negara.”
Penyelesaian berasaskan AI yang diperkenal pada tahun 2024 ini menggunakan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menangkap imej pokok dan secara automatik mengira DBH tanpa memerlukan peralatan tambahan atau objek rujukan.
Inovasi ini berjaya mengurangkan masa pengumpulan data dari dua minit setiap pokok kepada hanya 20 saat, dengan kadar ketepatan pengasingan pokok mencecah 96% dan margin ralat hanya 1.2cm bagi pokok bercabang dan condong.
Dr. Sharlene turut mengiktiraf peranan penting FRIM dalam kejayaan ini: “Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan penyelidikan kami di FRIM atas kepakaran mereka dalam bidang perhutanan dan pengurusan biodiversiti. Kerjasama ini amat penting dalam memastikan penyelesaian AI yang dibangunkan benar-benar memberi impak kepada usaha pemuliharaan.”
Secara tradisional, penilaian perhutanan memerlukan pengukuran di lapangan yang memakan masa dan berisiko, terutama apabila melibatkan kawasan tinggi.
Dengan penyelesaian AI oleh TM R&D, proses ini kini menjadi lebih pantas dan selamat, membolehkan pelaporan stok karbon dilakukan dengan lebih cepat serta menyokong pembuatan keputusan yang lebih baik untuk perlindungan hutan.
Inovasi ini selari dengan komitmen Malaysia dalam menangani perubahan iklim dan memelihara biodiversiti. Dengan proses pengumpulan data yang lebih efisien dan tepat, penyelesaian TM R&D berpotensi menjadi pemangkin dalam pengurusan perhutanan lestari negara.
Malaysia Technology Excellence Awards mengiktiraf perintis inovasi yang membentuk landskap teknologi di Malaysia melalui transformasi digital dan kecemerlangan teknologi. - KitaReporters/MMU