Masalah keciciran murid! UUM, kerajaan negeri Kedah bertekad atasi! Libatkan 3 pusat pengajian UUM!
Published byPANDEMIK Covid-19 meninggalkan kesan yang besar kepada dunia pendidikan sehinggakan usaha kerajaan dalam memulihkan kesannya memerlukan pendekatan yang cermat dan holistik.
Bagi mewujudkan kelestarian semula dunia pendidikan khususnya pendidikan pada peringkat menengah, kerajaan negeri Kedah bersama 19 orang penyelidik dari tiga pusat pengajian Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, serta Pusat Pengajian Pengkomputeran telah mewujudkan program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang pendidikan
Tiga graduan berpotensi dari setiap pusat pengajian tersebut telah menerima tajaan biasiswa dari Yayasan Sime Darby bagi membantu menjayakan program ini.
Program ini merupakan respons sosial yang dilaksanakan terhadap usaha pemulihan institusi pendidikan peringkat menengah yang kini berdepan dengan isu keciciran murid.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Sumber Manusia Negeri, Brigadier Jeneral (B) Dato' Najmi Ahmad berkata, bagi menghadapi cabaran pembelajaran masa kini, Program KOMPaS 1.0 merupakan komitmen kerajaan negeri Kedah yang diwujudkan sebagai usaha menambah baik strategi pengesanan awal murid berisiko keciciran pendidikan.
“Dalam menghadapi pengajian persekolahan peringkat menengah pada masa ini, saya yakin, guru dan pelajar amat terkesan dengan COVID 19 yang telah melanda negara dan dunia.
"Tempoh krisis dan pemulihan yang berpanjangan memerlukan kita mencari solusi yang lebih holistik bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan terutamanya peringkat menengah tetap terpelihara.
"Inilah cabaran yang harus kita depani bersama bagi memastikan tiada risiko tercicir dalam kalangan pelajar ini,” katanya lagi.
Dalam ucapan perasmiannya sempena Seminar Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses 1.0 (Seminar KOMPaS 1.0) di Wisma Darul Aman, Najmi berkata, sebagai langkah kukuh menangani isu keciciran di negeri ini, kerajaan negeri telah berkerjasama secara strategik dengan pasukan penyelidik UUM, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby.
"Program KOMPaS bukan program 'Touch-n-Go' tetapi program ini akan berterusan sehingga kita dapat melihat hasilnya dua tahun akan datang kepada murid rintis dari enam buah sekolah dari tiga daerah iaitu SMK Jerai, SMK Tanjong Puteri, SMK Ayer Hitam, SMK Tunku Seri Indera Putra, SMK Ayer Hangat dan SMK Kelibang, " ujarnya lagi.
Sementara itu, Profesor Kanan Psikologi Pendidikan Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, kajian yang telah memasuki tahun kedua itu disifatkan sebagai program ‘Smart Partnership’ (Perkongsian Pintar) antara UUM, kerajaan negeri, industri, dan komuniti. Yayasan Sime Darby turut menyumbang sejumlah dana yang menjadi tonggak utama kepada perjalanan dan kemenjadian program ini.
Menurutnya, program KOMPaS turut memenuhi aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia yang menggariskan langkah membendung keciciran pendidikan dalam kalangan murid sekolah serta selari dengan usaha UNESCO, Pendidikan untuk Pembangunan mampan (ESD).
“Kita (UUM) membantu kerajaan negeri Kedah untuk membuat pengesanan awal murid berisiko tercicir. Kita perlu mendalami punca-punca serta mencadangkan intervensi yang tepat dan sistematik dalam menangani isu keciciran murid dengan mengambilkira konteks tempatan.
"Alhamdulillah, seminar hari ini kita telah berkongsi dapatan kajian kepada kerajaan Negeri dan mendapatkan input serta maklum balas daripada pemegang taruh.
"Sebagai program rintis, terdapat enam sekolah menengah daripada tiga daerah terlibat dalam program KOMPaS. Jika program rintis ini berjaya, saya berharap ia (KOMPaS) akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di daerah-daerah lain, malahan keadah ini boleh diperluaskan ke peringkat kebangsaan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Rosna berkata seminar KOMPaS 1.0 kali ini dianjurkan oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah yang bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai dapatan kajian murid berisiko cicir.
Pada program sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin turut mengumumkan sumbangan ‘Back to School’ yang akan diberikan kepada 300 murid di setiap sekolah KOMPaS yang akan disampaikan pada awal tahun persekolahan 2023/2024. Sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membangkitkan motivasi murid untuk memulakan sesi persekolahan yang baharu.
Turut hadir dalam Seminar KOMPaS 1.0 Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad; Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhammad Afiq Faiz Mohd Ridzam; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Sime Darby, Dr. Yatela Zainal Abidin. - KitaReporters