Video| Agenda Connected Campus! UUM lancar ‘virtual classroom’ pertama! Sebagai kemudahan PdP
Published byDr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani (kiri) meletakkan tapak tangan sebagai tanda pelancaran kelas maya atau 'virtual classroom'.
PERKEMBANGAN Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan penularan pandemik Covid-19 hari ini telah memaksa manusia untuk berubah dengan mengadaptasi dunia teknologi dalam kehidupan harian yang mana ia turut memberi cabaran dalam bidang pendidikan, tidak terkecuali di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sehubungan itu, di bawah agenda Connected Campus yang menjadi agenda penting universiti untuk memastikan perkembangan teknologi universiti ini tidak ketinggalan dari negeri maju lain, UUM telah melancarkan kelas maya atau ‘virtual classroom’ pertama di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) sebagai kemudahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Lagi laporan-laporan menarik berkaitan UUM
Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani (tengah) bersama Dr Hendrik Lamsali (kanan sekali) pada majlis kelas maya itu.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, ‘virtual classroom’ ini disediakan bagi menyokong proses PdP secara maya yang boleh diakses dari pelbagai lokasi sama ada di dalam kampus mahupun di luar termasuk komunikasi dua hala secara interaktif.
Menurutnya, dengan adanya kemudahan sebegini, pelajar dapat merasai suasana pembelajaran seolah-olah secara bersemuka walaupun kelas diadakan dalam talian, malah mereka boleh berinteraksi secara maya dengan pensyarah masing-masing, sekali gus dapat mengurangkan kekerapan keluar dari kampus untuk menjalankan proses PdP bagi Program Jarak Jauh (PJJ) atau program pascasiswazah.
Katanya, penggunaan virtual classroom tersebut adalah terbuka kepada seluruh warga kampus dan mereka hanya perlu membuat tempahan awal secara dalam talian sahaja.
Tambah beliau, dengan adanya kelas maya yang mendapat peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan juga TISSA-UUM itu dapat membantu melancarkan lagi mod pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (e-learning).
Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani ketika online.
“Selain ‘virtual classroom’ ini, UUM menerusi UUMIT juga telah membangunkan beberapa aplikasi bagi meningkatkan mutu khidmat penyampaian universiti kepada pelajar dan ibu bapa mereka iaitu aplikasi UUM Student dan UUM Parent yang merupakan satu inisiatif UUM ke arah ‘Connected Campus’ seiring dengan keperluan semasa.
“Antara kemudahan yang terdapat di dalam aplikasi ini adalah ID Digital, Jadual Kelas, Keputusan Peperiksaan, Maklumat Kewangan, Maklumat Kehadiran ke Kelas, QR Code untuk memasuki Perpustakaan, Student Lounge dan Bilik-bilik Siswazah, Campus Alert, Maklumat Merit dan Hotline yang tersedia sejak September (2020) lalu dan boleh dimuat turun dalam AppStore, Google Play dan Huawei AppGallery sejak November 2020,” katanya pada Majlis Perasmian ‘Virtual Classroom’, Sistem Kenaikan Pangkat dan Sistem Kewangan (FIMS) di TISSA-UUM pada 26 April 2021.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali.
Di samping itu, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir berkata, bermula 3 Januari 2021, Jabatan Bendahari telah mula mengguna pakai Sistem Pengurusan Kewangan (FIMS) yang lebih moden serta lebih bersepadu dengan sistem aplikasi lain di UUM ini.
Menurutnya, dengan adanya sistem kewangan baharu ini, urusan kewangan dan perakaunan universiti akan menjadi lebih efisien dan lebih mantap.
Untuk staf akademik pula, katanya, Sistem KPA telah dibangunkan bagi memudahkan urusan permohonan kenaikan pangkat. Melalui sistem itu, staf akademik boleh memantau pencapaian masing-masing mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan mereka yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara online.
Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani menandatangani plak Virtual Classroom.
“Tahniah saya ucapkan kepada UUMIT kerana bertungkus-lumus membangunkan sistem dan aplikasi yang dapat membantu proses PdP, pengurusan dan pentadbiran universiti dan seterusnya meningkatkan khidmat penghantaran maklumat kepada warga kampus,” katanya.
Sementara itu, Pengarah UUMIT, Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, beliau berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama diberikan oleh Naib Canselor dan seluruh warga universiti kepada UUMIT dalam usaha membangunkan kemudahan teknologi di universiti ini.
Menurutnya, pihaknya bertekad akan menyediakan kemudahan IT yang terbaik dan terkini kepada warga kampus dan semua pelajar demi memastikan hasrat connected campus dapat direalisasikan. - KitaReporters
Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani (tengah) bergambar dengan Dr Hendrik Lamsali (dua dari kiri) dan Dr. Abdul Malek Abdul Karim (dua dari kanan).