Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15) semakin hampir ke kemuncaknya. Pada 19 November 2022 ini bakal menyaksikan pengundi muda berumur 18 tahun akan ‘turun padang’ untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi memilik pucuk pimpinan yang akan mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Pada Julai 2019, Malaysia mencipta sejarah baharu apabila lebih dari dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 iaitu membenarkan golongan muda yang mencapai umur 18 tahun layak untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya.   

Hasilnya, pelaksanaan Undi18 menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik akan berkuat kuasa pada pilihan raya kali ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengundi muda



Bagi Muhammad Zaid Abdul Karim, 24, yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi Akademik 2021/2022 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpendapat bahawa penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pola pengundian dalam pilihan raya kali ini seperti mana yang didebatkan oleh pelbagai pihak.

Beliau mengambil contoh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang lalu, meskipun belia yang berusia 18 hingga 20 tahun boleh mengundi dalam PRN Johor, kadar peratusan keluar mengundi, terutama pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.

“Daripada 54.92 peratus keseluruhan keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus. Pelbagai analisis diberikan terhadap kadar keluar mengundi yang rendah itu, tetapi tiada pihak berani menafikan bahawa faktor pengundi muda kekal relevan dalam PRU-15,” ujar Zaid.

Zaid yang akan menunaikan tanggungjawab membuang undi di Kapar, Selangor pada Sabtu, 19 November 2022 ini turut menyatakan, mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah untuk melantik wakil rakyat melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat Islam. 

Mengundi juga adalah simbolik kehakiman terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.



Sementara itu, mahasiswa Program Komunikasi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Muhamad Faris Mohd Faisal yang berasal dari Shah Alam turut berkongsi pandangan beliau mengenai PRU15. 

“Saya begitu teruja untuk turun mengundi buat kali pertama tahun ini. Sebelum itu, saya banyak membaca dan membuat kajian untuk setiap parti yang akan bertanding. 

"Apa yang saya harapkan adalah, untuk pemilihan kali ini wakil-wakil rakyat dan siapa jua pemimpin yang bakal mentadbir Malaysia akan menjalankan tanggungjawab ini dengan adil serta memastikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan Malaysia terjamin,” katanya.



Manakala bagi Rasyiqah Unigkutti, 22, mahasiswi program Undang-undang dan Syariah berkongsi perasaan berdebar dan sedikit takut kerana menyedari ada tanggungjawab yang berat pada bahu kerana pada kali ini akan terlibat secara langsung dalam proses pemilihan pimpinan negara yang akan membawa dan mengemudi negara bagi tempoh 5  tahun akan datang. 

Menurutnya, mendapat peluang untuk turun mengundi pada kali ini ibarat dayung sudah pada tangan, perahu sudah di air kerana sudah lama beliau ingin menjadi rakyat yang dapat menjalankan peranan sepenting ini kepada tanah air tercinta.

“Harapan saya kepada mana-mana parti pun yang akan memenangi PRU 15 pada kali ini untuk berusaha sedayanya dalam memenuhi manifesto yang dibentangkan serta menjadi pemimpin yang progresif dalam usaha memajukan negara ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. 

"Semoga kerajaan yang dibentuk kali ini stabil dan kukuh agar kedaulatan negara sentiasa diperjuang dan kebajikan rakyat selamanya didahulukan”, ujarnya lagi. 

Apabila bertanyakan mengenai kempen-kempen yang dijalankan oleh parti-parti, beliau berpandangan kempen bagi PRU15 ini masih belum bebas daripada serangan peribadi yang ditujukan kepada parti lawan serta naratif yang diketengahkan masih berkisar tentang isu-isu populis seperti perkauman, agama serta kedudukan raja-raja. 

Perkara ini digunakan bagi menakut-nakutkan rakyat majoriti negara Malaysia berbanding isu-isu yang lebih penting melibatkan objektif negara dan perancangan negara 5 tahun akan datang kerana isu populis ini seringkali diputarbelitkan bagi meraih sokongan pengundi.

Ujarnya, anak muda sebenarnya sudah muak dengan permainan politik kotor seperti 'character assasination' yang saling menfitnah dan menjatuhkan parti lawan melalui serangan peribadi. 

Apa yang anak muda mahukan adalah untuk melihat penilaian terhadap setiap parti politik berdasarkan tawaran manifesto dan jaminan kestabilan landskap politik negara, katanya lagi.

“Saya memuji usaha kesemua parti politik yang berkempen, memberikan kesedaran akan pentingnya mengundi, mendidik literasi politik pengundi muda dengan memaksimumkan platform yang ada dalam usaha mencakupi semua lapisan masyarakat. 

"Contohnya, golongan muda didekati melalui aplikasi TikTok dan Twitter manakala golongan dewasa dan berumur disantunj melalui kaedah tradisional seperti kempen rumah ke rumah dan rapat umum serta jelajah konvoi," jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian yg dijalankan oleh Pusat Komuniakasi Strategik dengan kerjasama MPP USIM baru-baru ini, sebanyak 90 peratus pelajar USIM cakna tentang PRU15 dan 80 peratus daripada mereka sudah ada jawapan siapa pilihan pemimpin dan parti yang mereka undi 19 November 2022 ini. - KitaReporters/USIM


10
13
0
14
0

Copy Link: