Pelajar Cemerlang Orang Asli, Nurul Atiqah Ithnani Idrus, 18, mencipta sejarah menjadi pelajar pertama Orang Asli yang ditawarkan kemasukan ke Program Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2022/2023.

Lebih membanggakan anak kedua dari tiga beradik ini telah memilih Program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains bagi tempoh setahun pengajian, yang seterusnya akan ditempatkan Program Sarjana Muda di USIM.

Nurul Atiqah dari suku kaum Semai ini merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, Pahang yang memperoleh keputusan SPM 10A.

Beliau juga merupakan pelajar terbaik SPM Orang Asli Peringkat Negeri Pahang pada tahun 2022.



“Saya berasa sangat bergembira kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi, dan berharap agar cita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi akan tercapai,” kata Nurul Atiqah.

Ujarnya, untuk mencapai sesuatu kejayaan kita tidak boleh berada dalam tekanan. 

Persediaan awal adalah sangat penting, dan akan memastikan setiap hari mengulang kaji subjek seperti membaca, dan sering bertanya dengan orang yang lebih mahir untuk menguasai subjek yang lemah, tambah beliau.



Dalam pada itu, Ibu beliau Norhayati Abu Zaki, seorang suri rumah tangga turut menzahirkan rasa kesyukuran dan berbangga dengan kejayaan atiqah.

Berkongsi tips, selain mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya, Norhayati sering berpesan supaya menghormati orang tua, belajar bersungguh-sungguh, dan memegang kata-kata bahawa hendak berjaya itu bukanlah senang, sesuatu kejayaan itu kena bermula dari bawah, dan sesuatu yang kita tidak tahu mestilah belajar.

“Saya berharap agar mereka lebih berjaya dan dapat membantu orang yang lebih susah kerana kita pernah susah”, ujarnya lagi. 

Nurul Atikah juga turut layak menerima bantuan pembelajaran dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk tempoh pengajian peringkat Asasi sehingga ke peringkat Sarjana Muda. 



Sementara itu, Naib Canselor Dato' Prof Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM sangat mengalu-alukan Nurul Atikah yang bakal  mendaftar ke Tamhidi USIM pada 25 Julai 2023 nanti. 

"Ini merupakan sejarah buat USIM kerana bakal menerima pelajar Orang Asli terbaik Pahang" tambah beliau.

Dijangka seramai 1,109 pelajar bakal mendaftar ke program Tamhidi (Asasi) mulai 25 hingga 26 Julai 2023. - KitaReporters/USIM


14
15
0
9
0

Copy Link: