Bukan sekadar pelengkap! Kursus Kokurikulum bentuk modal insan yang berdaya saing, berketrampilan!
Published byPenawaran kursus Kokurikulum di Universiti Awam (UA) bukanlah sekadar pelengkap kepada kursus teras universiti sebaliknya ia secara tidak langsung berupaya membentuk modal insan yang berdaya saing serta melahirkan pelajar yang berketrampilan dan holistik.
Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Ts. Dr. Nik Noriman Zulkepli berkata, kursus kokurikulum yang berlangsung selama 28 jam satu semester merupakan satu daripada cabang kurikulum yang boleh memberikan ilmu, pembentukan peribadi serta kemahiran kepada mahasiswa.
Sebagai contoh, ujar beliau, bagi penganjuran kursus SMZ17901 (Olahraga) yang dikendalikan oleh bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam 2003, Nazmizan Muhammad, setiap pelajar akan terlibat dengan pendedahan lapangan yang turut merangkumi aspek penganjuran acara dan kemahiran teknikal.
Penganjuran Kejohanan Mini Olahraga antara Pelajar Sekolah Rendah Negeri Perlis anjuran pelajar Kokurikulum Olahraga Universiti Malaysia Perlis turut mendapat kerjasama sektor korporat yang menaja hadiah, medal dan ruang gambar.
Jelasnya, pada semester kali ini, pelajar perlu menganjurkan kejohanan mini olahraga membabitkan kerjasama komuniti setempat yang mana keseluruhan 50 pelajar yang mengikuti kursus tersebut didedahkan dengan kemahiran mewujudkan jaringan antara universiti dengan sektor korporat dan komuniti setempat.
“Sebagai permulaan, kejohanan ini dianjurkan dalam skala kecil membabitkan jemputan penyertaan kepada empat buah sekolah rendah sekitar Perlis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Santan, SK Abi, SK Kampung Serdang dan SK Sena dengan 14 acara dipertanding iaitu 100 meter, 200 meter, lompat jauh dan 4x100 meter bagi kategori lelaki dan perempuan.
“Selain itu, keseluruhan hadiah yang ditawarkan kepada pemenang juga diperoleh melalui penajaan sektor korporat iaitu HD Seven Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengeluar peralatan sekolah GRADS, Zaha Bina Utara yang menaja medal serta Rass Dsigns And Event Sdn. Bhd. yang menaja ruang gambar dan sepanduk kejohanan.
“Adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat para pelajar berupaya untuk mengendalikan penganjuran ini dengan lancar yang secara tidak langsung membuktikan penawaran kursus ini mampu memberikan nilai tambah kepada pelajar itu sendiri,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Nik Noriman berkata, kerjasama tersebut juga adalah aspek penting dalam hubungan universiti-korporat-komuniti yang mana universiti bertindak sebagai hab ilmu melalui kepakaran yang boleh dikongsi dengan masyarakat luar dalam memupuk kerjasama, pertukaran pengetahuan dan manfaat bersama.
“Bagi perkongsian dan keterlibatan dengan sektor korporat pula, ia boleh dikembangkan lagi merangkumi aspek penawaran latihan amali, program koperasi dan perintisan atau memberikan pelajar pengalaman “hands on” dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka.
“Pada masa sama, ia juga mendokong aspirasi universiti untuk komuniti yang digariskan UniMAP dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menggalakkan inovasi, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat dengan memanfaatkan kekuatan setiap rakan kongsi dan menangani keperluan komuniti yang lebih luas,” ujarnya. - KitaReporters/UniMAP
Sebahagian peserta bergambar selepas tamat Kejohanan Mini Olahraga antara Pelajar Sekolah Rendah Negeri Perlis anjuran pelajar Kokurikulum Olahraga Universiti Malaysia Perlis.