Kanak-kanak taska ini bersiap sedia untuk membuat persembahan dikir barat sempena Program Sambutan Merdeka 2024.


SAMBUTAN kemerdekaan peringkat prasekolah dengan pelbagai aktiviti adalah satu cara yang menyeronokkan dan mendidik mereka dengan memperkenal konsep patriotisme seusia setahun jagung. 

Walaupun mereka masih hijau dan tidak tahu erti kemerdekaan itu secara hakiki, lambat laun mereka akan menjadi insan yang mengisi kemerdekaan.

Memperkenal konsep kemerdekaan kepada kanak-kanak prasekolah adalah penting untuk membina asas yang kukuh mengenai sejarah dan budaya negara. 

Sekurang-kurangnya majlis sambutan itu menjadi kenangan manis apabila meningkat dewasa, dan ia akan diteruskan kepada anak-anak mereka apabila berkahwin nanti.



Melalui aktiviti kemerdekaan, kanak-kanak dapat mempelajari nilai-nilai penting seperti kebanggaan terhadap negara, semangat kerjasama, dan penghargaan terhadap perjuangan kemerdekaan. 

Memang nampak tiada apa-apa tapi hakikatnya ia seperti membuat pelaburan dan hasilnya akan dikutip mungkin 20 atau 30 tahun lagi.

Menyedari kepentingan sambutan hari kemerdekaan kepada murid-murid tadika, Persatuan Taska Hulu Langat mengambil inisiatif menganjurkan program itu dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti perarakan beramai-ramai, nyanyian lagu patriotisme terutama yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Arshad sambil mengibar Jalur Gemilang. 

Perarakan kontinjen taska yang mengambil bahagian dalam program Sambutan Merdeka 2024.


Pengarah Sambutan Merdeka 2024, Norkamila Ahmad, berkata program seumpama itu dianjurkan setiap tahun sebagai salah satu pengisian kepada golongan pelapis yang satu hari nanti akan mengisi kemerdekaan negara ini sama ada sebagai pemimpin atau warga negara yang berbakti.

Beliau berkata, Sambutan Merdeka 2024 yang dianjurkan Persatuan Taska Hulu Langat bertujuan melahirkan semangat cintakan negara dan patriotik dalam kalangan kanak-kanak prasekolah dalam suasana yang santai dan menyeronokkan kerana kebanyakan mereka belum faham apa itu erti kemerdekaan.

"Jika mahu menarik minat mereka untuk mengambil bahagian dalam program kemerdekaan biarlah ia dalam suasana menyeronokkan bersama kawan-kawan dan guru selain ibu bapa seperti perarakan, mengibarkan Jalur Gemilang, pakaian yang melambangkan kecintaan kepada negara dan nyanyian lagu berkaitan semangat kebangsaan.  

"Alhamdulillah, mereka seronok dan sudah berada di sini sejak awal pagi dengan dipersiap oleh ibu baa mereka dengan pakaian yang berwarna warni yang melambangkan Jalur Gemilang selain bersolek dan membawa Jalur Gemilang untuk dikibarkan ketika perarakan dan membuat persembahan," katanya selepas selesai program Sambutan Merdeka 2024 di Dewan Komuniti, Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.


Norkamila Ahmad


Sambutan Merdeka 2024 dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Ramal, Dr Shafie Ngah. Turut hadir, Presiden Persatuan Taska Hulu Langat, Ustazah Norsaadah Din. 

Seramai 300 kanak-kanak taska dan 60 guru dan pengasuh mengambil bahagian. 

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Taska Hulu Langat, berkata melalui Sambutan Merdeka 2024, pihaknya memberi penerangan dan maklumat kepada kanak-kanak yang mengambil bahagian itu apa itu bendera Jalur Gemilang, bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan negara selain gambar-gambar pemimpin yang terbabit dalam kemerdekaan negara.        


Dr Shafie Ngah (tengah) merasmikan Sambutan Merdeka 2024 di Dewan Komuniti Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor pada 30 Ogos 2024.


"Melalui penganjuran program ini, kami mahu memberitahu masyarakat bahawa taska bukan sekadar mendidik dan mengasuh anak-anak tapi membantu si cilik ini untuk mengembang potensi diri mereka. 

"Secara tidak langsung guru-guru dan pengasuh ini mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi pendidikan awal dan menggilap jati diri anak-anak ini sebagai persiapan untuk memasuki alam persekolahan nanti.

"Kanak-kanak ini ibarat permata yang perlu digilap selalu kerana mereka mempunyai sifat ingin tahu dan mahu meneroka semua perkara baru yang belum mereka jumpa. 

"Inilah peranan kami yang kadangkala dilupakan masyarakat iaitu mengilap potensi diri mereka," katanya.

Menurutnya, sepanjang program ini, hadirin terutama ibu bapa boleh lihat bagaimana peranan guru-guru dan pengasuh taska yang bertungkus lumus menunjuk ajar mereka membuat persembahan di hadapan khalayak.

Usaha ini, katanya bukanlah mudah memandangkan ada yang gementar kerana mungkin pertama kali berada di atas pentas dan pengasuh dengan sabar mententeramkan mereka, hasilnya persembahan mereka jujur tapi menghiburkan. 


Manisnya murid-murid taska ini dengan topi Jalur Gemilang.


"Program Sambutan Merdeka 2024 membabitkan 16 taska walaupun jumlah taska di bawah persatuan lebih daripada itu tapi kami hanya mengehadkan jumlah itu bagi memudahkan mengawal anak-anak dan masa yang diambil untuk perarakan dan persembahan tidak terlalu lama.

"Alhamdulillah, bermula daripada perarakan masuk kontinjen taska yang mengambil bahagian, mereka mendapat tepukan hadirin termasuk ketika membuat persembahan bertema kemerdekaan selain peragaan pakaian tradisional. 

"Mungkin ada yang gementar tapi keseluruhannya berjalan lancar dan memuaskan," katanya.

Keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan penganjuran Sambutan Merdeka 2024 dan usaha gigih gugu-guru dan pengasuh yang bertungkus lumus melatih sehingga mereka dapat membuat persembahan yang membanggakan kami selain ibu bapa yang hadir.



Kanak-kanak ini mampu membuat persembahan di hadapan penonton dengan latihan sistematik walaupun ada yang gementar.


"Sejujurnya, saya terharu sebaik sahaja selesai program ini kerana ia amat istimewa sekaligus membuktikan kepada masyarakat apa yang kami lakukan untuk perkembangan potensi anak-anak prasekolah ini.

"Saya memang ada sedikit sedih dengan perkembangan mutakhir ini kerana ada masyarakat yang memandang negatif pihak taska tapi dengan penganjuran program ini kami menangkis segala tohmahan tidak berasas itu."Ibu bapa dapat melihat sendiri anak-anak mereka membuat persembahan, ada yang mengakui  tidak percaya bakat si kecil itu kerana bukan mudah membuat persembahan spontan di hadapan khalayak jika tiada bimbingan dan latihan daripada guru-guru dan pengasuh taska," kata Norkamila. 

Persembahan ala boria yang menghiburkan hadirin.


Kanak-kanak ini berbakat cuma masyarakat perlu menggilap potensi diri mereka. 


Norkamila turut berterima kasih kepada pihak yang banyak membantu bagi merealisasikan program Sambutan Merdeka 2024 terutama Dr Shafie yang bukan sahaja hadir bagi merasmikan tapi turut memberi sumbangan bagi membolehkan aktiviti kemerdekaan itu diadakan dengan lancar dan mendapat sambutan.

"Harapan saya ialah program seperti ini akan diadakan setiap tahun dan semoga sokongan masyarakat dan pihak swasta berterusan menyokong kerana kami tidak mampu untuk melakukan program seperti ini sendirian malah persatuan juga ada kekangan kewangan jika pihak tertentu tidak membantu dan menyokong usaha ini.

"Saya juga berharap ibu bapa memahami keperluan dan kerjaya pengasuh dan berbincang dengan kami jika ada sebarang kemusykilan.

"Jangan terus tularkan kerana impaknya sangat terkesan kepada kami, kesian kepada guru-guru yang bertungkus lumus menggilap potensi anak-anak mereka," katanya lagi. - KitaReporters


Persembahan kanak-kanak taska menari dan menarik mengikut muzik memang mencuit kerana mereka tidak rasa gementar.  

18
7
0
13
0

Copy Link: