Bila ABAH Bersuara| Terima kasih kerajaan Madani! Hadiah bersejarah untuk pelajar Tingkatan Enam!
Published by
PELAJAR Tingkatan Enam diberi kebebasan berpakaian tanpa terikat pada peraturan pakaian seragam sekolah.
BUAT pertama kali, pelajar Tingkatan Enam akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mulai sesi persekolahan 2025/2026 seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 22 Disember lalu.
Ini adalah langkah bersejarah kerana buat pertama
kali pelajar Tingkatan Enam menerima BAP. Sebelum ini ia hanya disalurkan kepada
murid tahun satu sehingga pelajar Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu
bapa.
Sementara bantuan ini diteruskan dengan
peruntukan RM800 juta kepada 5.2 juta murid dan pelajar, bantuan diperluas untk
pelajar Tingkatan Enam, melibatkan implikasi kewangan RM15 juta. Faedahnya akan
dinikmati oleh lebih 100,000 pelajar.
Agihan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam sedia ada akan dilakukan pada Februari 2025. Pelajar baharu pula akan menerima bantuan pada Julai 2025.
Pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam menyerlahkan keprihatinan kerajaan Madani untuk meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga membuat persediaan keperluan persekolahan. Bantuan ini memang melegakan, terutama untuk keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.
Ia juga membuktikan komitmen Kementerian Pendidikan memperkasa pendidikan dengan memberi bantuan agar pelajar dapat menghayati pelajaran dengan tenang dan selesa. Pada masa sama menggalakkan pelajar memilih Tingkatan Enam selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Penulis teringat sekitar pertengahan tahun 70-an sewaktu berada di Tingkatan Enam Rendah (Lower Six), pelajar termasuk penulis menerima Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) bernilai RM35 sebulan bagi pelajar aliran sastera dan RM45 sebulan bagi pelajar aliran sains. Bantuan ini diteruskan sehingga tamat Tingkatan Enam Atas (Upper Six).
Pada waktu itu, bantuan sebanyak itu besar nilainya. Wang digunakan untuk keperluan persekolahan, sangat membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Selepas meninggalkan sekolah, penulis tidak pasti kedudukan BKP ini. Sistem persekolahan Tingkatan Enam sekarang pun jauh berbeza.
Dahulu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) atau Higher School Certificate (HSC) bagi aliran Inggeris diadakan pada penghujung Tingkatan Enam Atas, yang menguji apa dipelajari selama dua tahun di Tingkatan Enam.
Namun sekarang sistem semester digunakan,
seperti juga di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajar tidak terlalu
tertekan mengingati pelajaran dua tahun yang diuji pada satu peperiksaan besar.
Secara tidak langsung pelajar memahami sistem di IPT, yang merupakan destinasi
selepas STPM kelak.
Pelajar Tingkatan Enam juga diberi kebebasan berpakaian, tidak tertakluk kepada pakaian seragam sekolah seperti dahulu. Ini aspek positif membezakan mereka dengan pelajar lain dan diharap dapat memupuk minda dan jiwa matang dalam kalangan pelajar.
PELAJAR Tingkatan Enam belajar dan berdiskusi dalam persekitaran harmoni, membentuk jiwa dan minda matang.
Kerana itu sekarang ramai pelajar memilih Tingkatan Enam, didorong suasana persekolahan lebih menarik. Dahulu ‘masam-masam manis’ apabila melihat rakan lepasan SPM memasuki IPT bagi kursus diploma, asasi, matrikulasi atau politeknik.
Sekarang ada yang menolak tawaran ke IPT, sebaliknya mahu ke Tingkatan Enam. Pendidikan Tingkatan Enam telah diperkasa dan ditambah baik.
Maka, dengan pengumuman pemberian BAP akan menyemarakkan lagi semangat memilih Tingkatan Enam seperti diharap oleh Kementerian Pendidikan.
Para pelajar Tingkatan Enam seharusnya menerima
inisiatif BAP ini sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk lebih komited
menuntut ilmu. Sentiasa ingat Tingkatan Enam adalah gerbang pendidikan penting pasca-SPM untuk menjangkau bidang pendidikan tinggi.
Kerajaan memberi bantuan bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan pelajaran tetapi agar mereka lebih maju jaya dalam pelajaran. Kerajaan memberi bantuan diperlukan tetapi bersediakah pelajar membantu diri sendiri? - KitaReporters