Kerjasama pintar lagi strategik antara UMT-BRIN! Juga perkukuh hubungan diplomasi Malaysia-Indonesia!
Published byUniversiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia telah menjalinkan kerjasama strategik yang merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pertukaran akademik dan kepakaran, tetapi juga memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian ilmu dalam bidang sains marin dan bioteknologi.
Dalam pertemuan rasmi berlangsung di Dewan Senat UMT baru-baru ini, turut diadakan majlis pertukaran dokumen MoU.
Majlis tersebut menyaksikan UMT diwakili Prof. Dr. Tengku Sifzizul Tengku Muhammad, Ahli Lembaga Pengarah UMT (Wakil Senat) serta Prof. Dr. Yeong Yik Sung, Pengarah Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin.
Manakala pihak Indonesia pula diwakili Prof. Dr. Muhammad Firdaus, wakil kedutaan Indonesia ke Malaysia, dan Prof. Dr. Ocky Karna Radjasa, Pengerusi Agensi Penyelidikan dan Inovasi.
Wakil UMT dan BRIN menunjukkan dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Dokumen yang berlangsung di Dewan Senat UMT
Salah satu komponen utama dalam kerjasama itu adalah pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi.
UMT yang mempunyai kekuatan dalam penyelidikan marin dan bioteknologi akan bekerjasama dengan BRIN dalam melaksanakan kajian inovatif yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Bidang marin dan bioteknologi khususnya dijangka menjadi fokus utama kerana kedua-dua negara mempunyai warisan ekosistem marin yang kaya dan juga dilimpahi dengan sumber bioteknologi.
Kerjasama strategik itu juga merangkumi pertukaran penyelidik dan pelajar pascasiswazah antara UMT dan BRIN.
“Pertukaran ini diharap dapat menggalakkan pembangunan kepakaran saintifik serantau dan memupuk pemimpin masa depan dalam bidang sains dan inovasi.
"Pada masa yang sama, ia akan membuka peluang untuk menghasilkan penerbitan berimpak tinggi yang memberi tumpuan kepada isu-isu serantau seperti perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan lestari seiring Matlamat Pembangunan Mapan (SDG),” kata Prof. Dr. Tengku Sifzizul ketika berucap sempena Majlis Kepimpinan Serantau & Perkongsian Penyelidikan dalam Rangkaian Bioteknologi Marin dan Sumber Akuatik UMT-Indonesia baru-baru ini.
Selain itu, kerjasama yang termeterai itu juga melibatkan penganjuran seminar dan simposium yang menghimpunkan para akademik dan penyelidik dari kedua-dua negara.
Seminar yang direncanakan akan menjadi platform untuk bertukar-tukar idea, berkongsi hasil penyelidikan terkini dan membincangkan cabaran serta peluang dalam penyelidikan marin dan bioteknologi.
Ia juga akan memberi ruang kepada kedua-dua negara untuk mempamerkan kejayaan penyelidikan mereka pada peringkat antarabangsa seterusnya meningkatkan reputasi akademik UMT dan BRIN.
Antara lain, kolaborasi itu juga menjanjikan penghasilan penerbitan berimpak tinggi melalui penyelidikan bersama yang melangkaui bidang akademik tradisional.
Tumpuan diberikan kepada penghasilan kajian yang relevan dengan keperluan semasa, terutama dalam mengatasi isu global seperti kelestarian sumber laut, perubahan iklim serta pengurusan ekosistem marin dan pantai.
Di samping itu, kerjasama yang terjalin itu bukan hanya bersifat akademik semata, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia.
Kedua-dua negara berkongsi sejarah dan budaya yang kaya serta warisan maritim yang lama, sekali gus membuka ruang untuk mendalami kajian-kajian berkaitan warisan sejarah dan budaya serta penyelidikan marin yang dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan kawasan maritim bagi kedua-dua negara.
Melangkaui kerjasama akademik, kerjasama pintar itu turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau serta menyumbang kepada pembangunan lestari dan inovasi yang relevan dengan cabaran global masa kini. - KitaReporters/Kenyataan Media