Terbaiklah Farouk Baqi! Kepayahan hidup bukan penghalang! Raih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor UUM!
Published bySiapa sangka penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Farouk Baqi Zahid adalah pekerja sambilan yang mengumpul duit bagi perbelanjaannya ketika di universiti.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) yang dilahirkan dari keluarga sederhana ini pernah bekerja sebagai pekerja dewan asrama sekolah, buruh binaan, pekerja ladang kelapa sawit dan sebagainya.
Ahli Beta Gamma Sigma (BGS) UUM kohort ke-4 ini yang bertekad untuk mengubah nasib keluarga ini telah belajar bersungguh-sungguh dan konsisten dalam pengajiannnya hingga berjaya mengekalkan Anugerah Dekan bagi lapan semester berturut-turut.
“Kemiskinan bukan alasan untuk mengharapkan perhatian manakala kejayaan menjadi milik kita sekiranya bertekad dan berusaha untuk mencapai kejayaan,” ujarnya ketika ditemui.
Farouk menambah dia sentiasa menumpukan perhatian dan membuat nota ringkas ketika mengikuti kuliah sepanjang pengajiannya.
Anak bongsu ini sentiasa memberi harapan kepada ibu bapa dan keluarga bahawa kemiskinan bukanlah kesudahan hidup.
“Kini saya telah bekerja sebagai ‘biling specialist’ di sebuah syarikat pengeluaran minyak multinasional terkemuka yang berasal dari negara Perancis, iaitu SLB yang dahulunya dikenali sebagai Schlumberger," katanya lagi.
Kini selepas konvokesyen tertangguh selama setahun graduan kampus ini hadir semula untuk menerima ijazah masing-masing. - KitaReporters