Santuni gelandangan! USIM Living Lab semarakkan siswa Madani berjiwa sukarelawan! Prihatin, berbakti!
Published byUniversiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen dalam membentuk pelajar berjiwa sukarelawan menerusi Jaulah Sukarelawan USIM 2025: Semarak Siswa Madani (Chapter Kuala Lumpur) – USIM Living Lab.
Program ini berlangsung lewat malam pada 21 Mac 2025 baru-baru ini dengan lebih 400 bakul makanan mengandungi makanan asas harian, barang mandian kanak-kanak, set vitamin dan snek diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Bertempat di Jalan Belia, Chow Kit, Kuala Lumpur, program ini dikendalikan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) USIM dengan kerjasama Food for Gelandangan (FFG), World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), serta beberapa rakan strategik lain.
Program ini menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada komuniti, antaranya adalah pemeriksaan kesihatan percuma dan klinik pergigian bergerak, terapi psikopendidikan untuk kesejahteraan mental, edaran Infaq Kasih bagi membantu keperluan asas golongan yang memerlukan, program interaktif seperti 'Jawablah Ustaz' untuk pendidikan agama dan persembahan seni busking sebagai hiburan komuniti.
Meneruskan kesinambungan program yang dimulakan pada tahun 2024, inisiatif ini memastikan kelestarian dalam menyantuni komuniti gelandangan dan miskin bandar.
USIM Living Lab mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui perkhidmatan komuniti, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik lain seperti Creative Seven Legacy, KL Hop On Hop Off, Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Syarikat Laksamana Usaha Noodle Products Sdn. Bhd., Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd., Pharmaniaga Berhad, dan Mamee Double-Decker (M) Sdn. Bhd.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, menekankan bahawa program sukarelawan ini mencerminkan nilai kepimpinan, empati, dan tanggungjawab sosial mahasiswa.
Melalui penyertaan dalam program ini, mereka berpeluang memahami realiti kehidupan golongan kurang bernasib baik serta mengasah nilai kesyukuran, keprihatinan dan kepimpinan.
Beliau berharap agar WTCKL selaku penganjur bersama, FFG dan rakan-rakan kolaborasi yang lain untuk menjalinkan kerjasama untuk program yang akan datang supaya dapat memberi manfaat serta menjadi inspirasi kepada masyarakat.
"Saya menggesa agar usaha kesukarelawanan ini diteruskan dan semoga usaha ini diberkati dan dipermudahkan Allah SWT", ujarnya lagi.
Program turut dihadiri oleh Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM; Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti dan rakan kolaborasi lain. - KitaReporters/USIM