Video| Sekolah mesti jadi tempat selamat, selesa, penuh harapan! Pendidikan jadi pintu kejayaan! - PM
Published by.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
Dan di sebalik setiap harapan, kata Perdana Menteri, ada tanggungjawab yang kita -- sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa -- genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
"Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini (Isnin, 17 Februari 2025), selamat kembali menimba ilmu," katanya dalam hantaran akaun Facebooknya pada 17 Februari 2025 sempena hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2025.
Terdahulu, pada sebelah pagi Perdana Menteri kembali ke bilik darjah tetapi bukan sebagai guru.
"Tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa, termasuk para pelajar.
"Di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Baru, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara," kata Anwar lagi.
Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, Perdana Menteri meluangkan masa untuk mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan.
"Saya sempat mengimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC pada tahun-tahun lampau, yakni betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.
"Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama.
"Justeru, sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
"Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita -- sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa -- genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
"Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu," kata Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media