Video| Program secara rewang! 100 pelajar KUIPs sertai Sembang Santai Kewangan Islam, Liqa’ Fakulti!
Published byOleh NUR SYAEDAH KAMIS
Seramai 100 pelajar tempatan dan antarabangsa Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam (FMKI) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kuala Perlis menyertai program “Sembang Santai Kewangan Islam dan Liqa’ Fakulti” pada 11 Mei 2024 anjuran bersama FMKI dan Persatuan Mahasiswa Muamalat dan Kewangan Islam (SMIF) di Homestay Teratak Kayu, Kuala Perlis.
Program ini bertujuan sebagai landasan kepada mereka untuk memperolehi pembelajaran di luar kelas dengan lebih efektif dengan perkongsian santai berkaitan isu-isu semasa kewangan Islam daripada panel penasihat akademik FMKI Prof Madya Dr Selamah Maamor, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia, wakil penasihat industri FMKI Mohd Hafizullah Md Abas, Daie Profesional Mawarith Wasiyyah Shoppe Berhad dan dua alumni FMKI, Muhd Khairunsani Halim dan Nur Syaza Shafie yang berkongsi tentang pengalaman kerjaya dalam bidang kewangan Islam.
Mardziyah Mohd Isa.
Nur Syamilah Md Noor.
Budaya ilmu tidak terhad di dalam kelas sahaja, pembelajaran di luar kelas seumpama ini akan lebih memberi impak positif kepada mahasiswa untuk memahami isu-isu semasa yang berlaku dalam kewangan Islam, ujar Pemangku Dekan FMKI, Mardziyah Mohd Isa.
Program ini secara lansung telah menzahirkan keakraban warga FMKI dengan perjumpaan (liqa’) barisan pentadbir dan pensyarah FMKI bersama mahasiswa.
Menurut Mardziyah lagi, kerjasama erat warga FMKI telah berjaya melaksanakan program yang julung kalinya diadakan dan berharap dijadikan acara tahunan nanti.
Dalam pada itu, pengarah program ini, Nur Syamilah Md Noor berkata, mereka memilih suasana desa kerana permintaan mahasiswa yang ingin merasai keindahan negeri Perlis yang terkenal dengan suasana desa yang permai dan Homestay Teratak Kayu Kuala Perlis.
Pensyarah turut menyediakan makanan semasa program itu berjalan.
Muhamad Rosydin Adzmeer Abidin, Pengarah bersama dan Mahasiswa semester enam, Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam ketika ditemui turut merakamkan terima kasih kepada pihak FMKI kerana merealisasikan idea beliau untuk mengadakan program ini secara rewang, sekali gus mengeratkan ukhwah antara pensyarah dan mahasiswa.
“Nasi hujan panas, rendang ayam, bihun sup utara, sate dan kambing bakar yang disajikan ini pastinya akan mengingatkan mereka yang menyertainya,” sambungnya lagi.
Walaupun hujan lebat semasa program ini, namun kesemua mereka yang hadir tetap bersama sehingga ke hujung program. - KitaReporters/KUIPs