Sekumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah berjaya membangunkan Sistem Pemantauan Pokok Bakau Secara Masa Nyata (real-time) (RTMMS) di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP). 

Projek yang dijalankan oleh kumpulan Mangrove Mavericks yang terdiri daripada lapan orang  mahasiswa itu bermula dengan projek tanggungjawab sosial (SR), seterusnya telah mengorak langkah dalam usaha untuk pemuliharaan pokok bakau di Malaysia yang sedang menghadapi tekanan ekologi ketara. 

Pengarah projek, Ir. Mohamad Affan Mohamoud berkata sistem itu merupakan perintis di KSNP yang  menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau secara masa nyata pertumbuhan  dan pemuliharaan pokok bakau melalui pelbagai parameter seperti ketinggiannya, suhu, kelembapan,  saliniti, intensiti Lux, NPK dan tahap pH.  

“Peranti ini direka berdaya tahan dalam keadaan yang lasak demi memastikan prestasi dan  kebolehpercayaan datanya yang konsisten.  

“Data yang dikumpul membolehkan para penyelidik menganalisis secara komprehensif dan intervensi dapat dilakukan tepat pada masanya. Usaha ini turut menggalakkan penglibatan komuniti setempat  dengan menyediakan data yang boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.  



Beliau berkata bermula dengan projek rintis yang dilakukan secara SR ini, mereka telah berjaya menggabungkan sembilan unit peralatan penderia (sensors) dan ia berpotensi untuk ditambah  bilangannya pada masa hadapan.  

“Pihak kami berharap agar usaha ini disambut baik oleh pihak-pihak berkepentingan sebagai tanggungjawab bersama dalam melestarikan alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat,” ujarnya.  

Tambah beliau, projek tersebut juga selaras dengan matlamat kelestarian global dan menyokong  komitmen Malaysia untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSDG menjelang tahun 2030.  

Menurut Ir. Mohamad Affan, sumbangan secara tunai dan bukan tunai daripada pelbagai agensi dan individu juga telah banyak membantu menjayakannya projek tersebut.  

“Sistem ini dibangunkan oleh "anak watan Malaysia untuk Malaysia" yang mencerminkan komitmen  terhadap penjagaan alam sekitar nasional dan inovasi.  

“Dedikasi dan kepakaran Mangrove Mavericks memperlihatkan potensi bakat tempatan dalam  memajukan teknologi pemuliharaan, memastikan kelestarian ekosistem bakau Malaysia yang penting  untuk generasi akan datang,” katanya.  



Kejayaan membangunkan RTMMS dan pelaksanaan projek SR ini merupakan hasil kerjasama  dengan kerajaan Negeri Selangor, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Taman Alam Kuala Selangor (KSNP), United Nations Sustainable Development Solutions Network Asia Headquarters (UNSDSN Asia), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM, Fakulti Teknologi dan  Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Kelab Pendidikan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Lembah Bujang Lestari dan Pertubuhan Alumni SMK Agama Kedah 9903 (PASAK9903). - KitaReporters/Kenyataan Media

18
5
0
19
0

Copy Link: