Baiki komunikasi dengan OKU pekak! USIM anjur kursus bahasa isyarat untuk jabatan kehakiman syariah!
Published by
Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor untuk menganjurkan Kursus Asas Bahasa Isyarat Panel Hakam Negeri Selangor kepada anggota Panel Hakam Negeri Selangor yang bertempat di KSL Esplanade Hotel, Klang baru-baru ini.
Penganjuran Kursus Asas Bahasa Isyarat Panel Hakam Negeri Selangor ini merupakan kali pertama dianjurkan dan merupakan inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan anggota Panel Hakam Negeri Selangor mengenai OKU pendengaran atau Orang Pekak (OP) dan menambah kemahiran berbahasa isyarat untuk mudah berkomunikasi dengan komuniti tersebut.
Selaras dengan usaha pengupayaan masyarakat yang inklusif, hasil kursus ini diharapkan dapat memastikan pelaksanaan Majlis Tahkim para panel Hakam bersama komuniti OKU pendengaran lebih berkualiti.
Program ini telah dikendalikan oleh Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr Norakyairee Mohd Raus, dan Penterjemah atau Jurubahasa Isyarat Antarabangsa, Noordin Hassan serta lima (5) orang fasilitator daripada UMMI.
Slot telah dikendalikan bersama anggota Panel Hakam Negeri Selangor selama dua (2) hari untuk memberi pendedahan realiti dunia komuniti OKU pendengaran di Malaysia di samping mempelajari asas-asas bahasa isyarat.
Dr. Norakyairee berkata, pendedahan mengenai isu dan cabaran serta keperluan komuniti OKU pendengaran terutama sebelum dan semasa melayari hidup berumah tangga adalah bersesuaian diberikan kepada anggota Panel Hakam Negeri Selangor untuk mereka meneroka peranan sebagai yang diberi kuasa oleh Mahkamah untuk menyelesaikan kes-kes perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri, terutama sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pasangan suami isteri dalam kalangan komuniti OKU Pendengaran itu sendiri, ujarnya.
Turut diadakan dalam kursus ini adalah sesi pengenalan dan praktikal asas bahasa isyarat termasuk kaedah-kaedah berkomunikasi yang sesuai untuk dipraktikkan dengan komuniti OKU Pendengaran.
Peserta turut didedahkan dengan istilah-istilah Dakwah dan Syariah serta 3 istilah berkaitan lafaz nikah, cerai dan khulu' dan telah divideokan sebagai panduan kepada panel Hakam, Jurunikah dan Jurubahasa Isyarat Malaysia ketika berurusan dengan OP kelak. - KitaReorters