Bangunan Yayasan Perak.


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, terus meluaskan jaringan hubungan bersama pihak luar bagi memperkasa peranannya sebagai universiti pendidikan ulung tanah air.

Terbaharu, UPSI menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Perak, sebuah organisasi milik Kerajaan Perak, sekali gus bakal memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam mencorakkan kemajuan pendidikan di negeri ini. 

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kerjasama itu adalah pengukuhan hubungan sedia ada dengan Kerajaan Negeri Perak yang sentiasa menyokong pelbagai program UPSI.

Katanya, UPSI pastinya sentiasa menyokong dan membantu merealisasikan aspirasi Yayasan Perak dalam membantu meningkatkan akses pendidikan dan latihan yang berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, melahirkan modal insan berilmu, berketerampilan, seimbang dan mempunyai kepimpinan yang tinggi serta membentuk dan meningkatkan kebolehpasaran modal insan kompetitif dan progresif.


Prof Dr Md Amin Md Taff.


Beliau berkata, dengan terjalinnya hubungan baik itu, UPSI melantik Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan sebagai Profesor Adjung untuk tempoh dua tahun bermula 1 Disember hingga 30 Disember 2026.

Pelantikan itu, katanya, berasaskan pengalaman luas dan kemahiran yang dimiliki Dr Nasreen Khanum dalam pentadbiran kerajaan.

“Dengan pelantikan Dr Nasreen Khanum ini akan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi pengalaman luasnya  bersama UPSI menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi  (FPE).

Dr Nasreen Khanum, yang mula berkhidmat di Yayasan Perak pada November 2023, pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah, Kerian.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuklah sebagai Ketua Akademik dan Perunding Kanan Latihan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Penolong Timbalan Presiden, Projek Impak Strategik, Agensi Inovasi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri; serta Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).   

"Saya berharap Dr Nasreen Khanum akan memanfaatkan segala pengalaman untuk membantu menjulang nama UPSI di arena antarabangsa," tambah Dr Md Amin.


Dr Nasreen Khanum.


Beliau berkata, pelantikan itu juga dibuat sebagai langkah merealisasikan integrasi antara akademik dengan profesional yang diiktiraf sebagai pakar dan berperanan dalam pembangunan akademik FPE khasnya dan UPSI umumnya.

Katanya, Dr Nasreen Khanum akan memberi perkongsian pengalaman dan idea baharu dalam kalangan akademia untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, menurutnya, beliau juga akan berperanan memperkasa hubungan kerjasama dengan pihak industri  serta institusi di luar UPSI.

UPSI juga menawarkan program pengajian bukan pendidikan seperti Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di bawah FPE yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. - KitaReporters


Kampus UPSI.

3
9
0
13
0

Copy Link: