Pendaftar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ts. Wan Abdul Manan Wan Abdullah, memulakan tugas secara rasmi di Pejabat Pendaftar, Bangunan Canselori, UMT.

Lantikan beliau sebagai Pendaftar baharu berkuat kuasa 1 Januari 2024 bagi menggantikan mantan Pendaftar, Zukiferee Ibrahim yang kini menyandang jawatan Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT.

Sesi menandatangani nota serah terima tugas antara Ts. Wan Abdul Manan dan Zukiferee telah disaksikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, di Pejabat Naib Canselor, UMT.



Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang teknikal dan pengurusan serta berpengalaman selama 21 tahun di universiti awam melayakkan beliau menyandang jawatan Pendaftar.

Anak jati Terengganu berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan di UPM dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Geologi, UKM ini berkata lantikan ini adalah satu amanah yang perlu ditunaikan bagi memastikan universiti kekal berada di landasan yang betul.

Malah keterlihatan universiti dalam bidang tujahan Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik perlu terus diangkat agar UMT terus dikenali di persada dunia.

Sementara itu, Naib Canselor UMT mengucapkan syabas dan tahniah kepada Wan Abdul Manan di atas pelantikan tersebut dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zukiferee diatas segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan di UMT.

Ujarnya beliau yakin dengan pengalaman luas Wan Abdul Manan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran dapat membantu membawa visi dan misi UMT menjadi universiti berfokus marin terunggul dalam dan luar negara. - KitaReporters/UMT


 

16
11
0
10
0

Copy Link: