Oleh: SAHBULAH MOHAMAD DARWI


KETIKA sektor pengajian tinggi beralih ke norma baharu berikutan cabaran wabak COVID-19, empat buah universiti di bawah Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) tampil menawarkan tiga kursus baharu secara dalam talian dan bersifat simbiotik.

Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memperkenalkan kursus Massive Open Online Courses (MOOCs), Open Elective and GLU Minor untuk pelajar mereka mulai September 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan universiti


Dalam satu kenyataan media, Pengerusi GLU, Prof. Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, hubungan simbiotik dalam kursus-kursus berkenaan adalah yang pertama kali dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

"Hubungan simbiotik ini boleh menjadi resipi yang dicontohi universiti lain di Malaysia bagi memastikan kemampanan pendidikan tinggi dalam menghadapi cabaran semasa wabak COVID-19," katanya yang juga Presiden UTP ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran MOOC secara dalam talian, di Cyberjaya pada 26 Julai 2021 lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Presiden MMU; Prof. Ir. Dr. Hilmi Mukhtar, Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTP; Prof. Dato' Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan) Uniten dan Prof. Dr. Shahrulniza Musa Timbalan Presiden (Akademik & Teknologi) UniKL.

Mengulas lanjut, dalam kenyataan media itu, Mohamed Ibrahim berkata, wabak COVID-19 tidak menjadi penghalang kepada universiti di bawah GLU untuk mempertingkatkan pendidikan berkualiti termasuk memperkenalkan pembelajaran dalam kaedah baharu seperti dalam talian dan jarak jauh.

Beliau berkata, melalui MOOCs, Open Elective and GLU Minor, para pelajar boleh berekplorasi dan mengembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang kebitaraan GLU seperti bidang gas dan minyak oleh UTP, tenaga (Uniten), penerbangan (UniKL), serta teknologi maklumat dan multimedia (MMU).  



Sementara itu, Naib Presiden Akademik dan Hubungan Antarabangsa MMU, Prof. Ho Chin Kuan yang mengetuai Cabang Akademik GLU, berkata, kursus-kursus ini boleh diambil oleh pelajar di luar struktur program untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan para pelajar dalam bidang-bidang yang mereka minati.

Katanya, setiap pakej membawa 15 jam kredit dalam tempoh setahun atau diambil tamat pengajian ijazah sarjana muda.

"Dengan inisiatif ini, para pelajar berpeluang untuk menambah jaringan kenalan dari universiti lain dan merasai budaya akademik yang berbeza," tambah Prof. Chin Kuan dalam kenyataan media yang sama. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: