Inisiatif tanggungjawab sosial universiti (USR)! Pelajar ikuti PdPR di makmal komputer UniMAP
Published byAIR muka keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah 18 pelajar sekolah sekitar Kangar yang berpeluang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dikendalikan di Makmal Komputer Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Anak-anak ini yang datangnya dari 10 buah sekolah di sekitar negeri Perlis merupakan pelajar daripada kategori kurang berkemampuan dan berdepan dengan masalah untuk mengikuti sesi PdPR yang telah bermula pada Januari 2021 lalu.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial universiti (USR) pensyarah dan tenaga pengajar FTKK UniMAP dalam usaha mengatasi masalah keciciran mengikuti pembelajaran disebabkan kekangan dari aspek kemampuan fizikal dan kewangan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UniMAP:
https://kitareporters.com/search?search=unimap
Pensyarah Kanan FTKK UniMAP, Dr. Khairul Anwar Abdul Halim memberikan penerangan kepada para pelajar yang mengikuti PdPr secara dalam talian di Makmal Komputer FTKK di Kangar.
Menurut beliau, pada asalnya program ini telah direncanakan lebih awal namun selepas negeri Perlis termasuk dalam negeri yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari 2021, program ini terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, sebaik sahaja Perintah KAwalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di negeri ini 19 Februari 2021, UniMAP terus menggerakkan kembali inisiatif ini yang turut mendapat kerjasama dari Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Unit Pembangunan Komuniti dan penduduk setempat.
“Meskipun pengumuman pembukaan sekolah telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program ini akan tetap diteruskan terutama membabitkan pelajar sekolah menengah yang hanya akan mula bersekolah secara fizikal pada bulan April nanti,” ujarnya.
Kekangan mengikuti kelas PdPr berjaya di atasi melalui penganjuran Program USR yang dikendalikan oleh FTKK UniMAP.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, kekuatan akademik dan penyelidikan UniMAP merupakan antara aspek yang digemblengkan bagi menyokong agenda nasional University For Society (U4S) iaitu untuk manfaat dan pembangunan komuniti.
Jelasnya, selain daripada sumbangan berbentuk produk, UniMAP juga sebelum ini telah terlibat dalam 16 projek penyelidikan yang bersifat pemindahan ilmu, manakala 62 program lagi dilaksanakan bagi tujuan pengupayaan komuniti dan hasilnya telah didokumentasikan dalam bentuk penerbitan buku U4S.
“UniMAP juga berjaya melibatkan 69 industri dan agensi yang bersama-sama menyumbang kepada kelestarian komuniti, dengan menyaksikan penyertaan 1,863 ahli masyarakat.
"Secara keseluruhannya, sepanjang tahun 2020, seramai 2,217 orang staf dan pelajar universiti telah terlibat dalam program universiti untuk komuniti dan ia merupakan permulaan yang baik dalam membantu komuniti mencapai kelestarian sebagai mana yang digariskan dalam agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” jelas Prof. R Badlishah.
UniMAP turut melancarkan buku University For Society (U4S) sebagai bukti komitmen menjayakan agenda SDG.