Jana Santhiran Muniayan (dua dari kiri) menekan butang tanda gimik perasmian.

SERAMAI 160 peserta menyertai Simposium Pemikir Muda yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dato’ Jana Santhiran Muniayan di Bilik Angsana, EDC-UUM di Sintok pada 29 Ogos 2022.

Simposium dua hari bertemakan Ekonomi Belia Pemacu Masa Hadapan Negara ini dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan KBS dengan Kerjasama Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Majlis Belia Malaysia (MBM), dan Exco Belia dan Sukan Kedah


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti belia-belia

Jana Santhiran Muniayan bergambar selepas majlis perasmian di Bilik Angsana, EDC-UUM di Sintok.

Jana Santhiran dalam ucapan perasmiannya berkata, simposium yang dianjurkan ini diharap memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat khususnya golongan muda.

“Moga semua peserta yang menyertainya dapat mencetuskan idea dan buah fikiran yang dapat membantu meningkatkan ekonomi belia menerusi ruang perkongsian dan medan perbincangan intelektual meliputi keusahawanan belia menjurus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan pembangunan kemahiran golongan belia mengikut bidang yang diceburi nanti,” ujar beliau lagi.

Katanya, penglibatan daripada wakil kementerian, agensi, ahli akademik, sektor korporat, persatuan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan belia secara individu ini diharap dapat mengangkat IYRES dan KBS sebagai pusat rujukan ilmu melalui gandingan kepakaran dari pelbagai bidang untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan berkenaan sektor ekonomi belia.

Pelaksanaan ini adalah hasil inisiatif dan langkah strategik antara kerjasama merentasi kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri yang telah dianjurkan di bawah program Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2022 dengan tujuan membantu memperkukuhkan ekonomi belia.

Semoga inisiatif yang direncanakan ini diharap dapat menjamin 600,000 peluang pekerjaan terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan peruntukan bernilai RM4.8 bilion.


Jana Santhiran Muniayan berbual dengan peserta-peserta simposium.


Jana Santhiran menambah kerajaan menyedari cabaran yang sedang dihadapi golongan belia ketika mendepani pasca-Covid-19.

Oleh itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), KBS sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi golongan belia

“Berdasarkan taburan penduduk belia di Malaysia, pada tahun 2021 di dalam Sistem Ydata@IYRES, mereka yang berumur 15 hingga 30 tahun adalah berjumlah 9.7 juta orang iaitu 30 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia

"Angka ini menunjukkan bahawa golongan belia adalah kelompok yang besar dalam masyarakat serta merupakan aset atau sumber tenaga yang penting kepada negara," katanya.

KBS juga membuka peluang dan ruang kepada golongan belia untuk menyertai sektor pertanian dengan menjadi pemudah cara dalam membantu belia untuk mendapatkan pembiayaan daripada agensi-agensi penyedia dana seperti SME Corp. Malaysia bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE); MAFI bagi Program Agropreneur Muda; dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi Program Latihan Pembangunan Usahawan Muda (JUMPER). 

Jana Santhiran berharap inisiatif yang bersifat pembudayaan ke arah agromakanan dengan latihan dan kursus jangka pendek (program sedia ada) seperti Kursus Teknikal Belia Tani (Youth Agrotech) yang dilaksanakan peringkat negeri dan kebangsaan dengan kerjasama pertubuhan belia, NG seperti Program Youth Agro City, tanaman cendawan, tiram dan sebagainya akan memberi faedah kepada golongan belia dan membangunkan ekonomi negara nanti.

Sesungguhnya simposium ini diharap dapat mendorong usaha dan agenda pembangunan belia negara nanti.


Prof. Dr. Russayani Ismail menyampaikan cenderamata kepada Jana Santhiran.


Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, golongan belia yang merupakan tunjang keutuhan Keluarga Malaysia harus perlu dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama mencorak masa depan negara.

“Mereka memainkan peranan penting dalam dalam memastikan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya di Malaysia yang mampu direalisasikan,” ujarnya dalam teks yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.

Simposium dua hari ini diharap dapat menyumbang kepada agenda pembangunan belia negara dengan cara mengukuh ilmu dan pengetahuan peserta-peserta yang mengikutinya. - KitaReporters


Peserta-peserta simposium yang menghadiri.

16
7
0
10
0

Copy Link: