Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan akses pendidikan bagi komuniti yang memerlukan, Taylor’s College telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun untuk melancarkan Hab Pembelajaran baharu bagi menyokong komuniti Orang Asli di Gerik, Perak. Pembangunan hab ini berjaya direalisasikan dengan kerjasama Shawn Stanly Anthony Dass, seorang pendidik di SK RPS Banun dan penerima RISE Educator Award 2024. 

Ia menyediakan ruang pelbagai fungsi untuk pelajar, ibu bapa, dan ahli komuniti bagi menjalankan aktiviti kolaboratif dan pendidikan.

Majlis pelancaran ini dihadiri Fadzliaton Zainudin, Timbalan Pengarah, Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau menyambut baik kerjasama ini dengan berkata, “Kami menghargai kerjasama antara sektor swasta dengan Kementerian Pendidikan dalam memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua pelajar. 

"Tambahan pula, inisiatif ini selaras dengan konsep ‘Sekolah Milik Masyarakat’ yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.”


Hab Pembelajaran baharu bagi menyokong komuniti Orang Asli di Gerik.


Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College, berkata, “Pendidikan adalah asas kejayaan seumur hidup, dan inisiatif seperti Hab Pembelajaran ini membawa perubahan bermakna, bukan sahaja untuk pelajar dan sekolah tetapi juga kepada landskap pendidikan Malaysia. 

"RISE Educator Award memainkan peranan penting dalam mengiktiraf dan memperkasa usaha pendidik seperti Cikgu Shawn, yang menginspirasikan transformasi dalam komuniti mereka. 

"Projek seperti ini membuka jalan kepada masyarakat yang lebih berdaya saing dan makmur, mencerminkan komitmen kami terhadap pendidikan inklusif dan transformasi yang bermakna.”  

Projek komuniti ini turut dihadiri Sarah Lasung, Ketua Latihan dan Kepimpinan di Teach For Malaysia. 

“Ia merupakan satu penghormatan bagi kami untuk bekerjasama dengan Taylor’s College sebagai rakan kongsi.

"Kerjasama ini bertujuan mengiktiraf dan meraikan pendidik yang menjalankan tanggungjawab di luar bidang tugasan mereka demi memberi inspirasi dan memperkasa komuniti. 

"Melihat dedikasi Cikgu Shawn terhadap pelajarnya adalah peringatan mesra bahawa pendidik yang berdedikasi dalam komuniti kita mampu melakukan perubahan. 

"Kami berharap kisah beliau dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyokong dan memperkasa generasi pelajar yang akan datang di seluruh Malaysia,” katanya.

Idea untuk hab ini tercetus daripada empat orang pelajar yang melihat potensi untuk mengubah kawasan sekolah yang kurang digunakan menjadi ruang yang bermanfaat untuk komuniti. 

Ia menyediakan ruang khas untuk pelajar SK RPS Banun dan perkampungan Orang Asli terdekat untuk belajar, menimba ilmu, dan menyertai aktiviti yang berstruktur. 



“Pembinaan Hab Pembelajaran ini bukan sahaja tercetus daripada keperluan, tetapi juga kreativiti dan semangat pelajar kami. 

"Ia adalah tempat di mana mereka boleh belajar, berkembang, dan berhubung dengan komuniti mereka. Pelajar-pelajar ini melihat peluang untuk mengubah kawasan yang tidak digunakan kepada sesuatu yang bermakna. 

"Dengan dana RM20,000 dan sokongan daripada Taylor’s College, serta bimbingan mentor saya, Nur Syazadiyanah Suraini, semasa proses ideasi Hab Pembelajaran, visi kami kini menjadi kenyataan. 

"Ini hanyalah permulaan, tetapi ia adalah langkah penting untuk membantu pelajar kami mengatasi cabaran yang mereka hadapi,” kata Cikgu Shawn.

Dibentuk berdasarkan input daripada kumpulan fokus seramai 16 peserta termasuk ibu bapa, Hab Pembelajaran ini menonjol dengan reka bentuk unik dan pembinaan berasaskan komuniti. 

Dibina oleh komuniti sendiri, ia menggabungkan fungsi pendidikan moden dengan warisan budaya, menggunakan bahan kitar semula. 

Ruang ini mempunyai tiga zon utama (Pembelajaran, Permainan, dan Kolaborasi) yang direka untuk memenuhi keperluan pendidikan tertentu sambil memberikan fleksibiliti untuk kaedah pengajaran abad ke-21. 

Panel dinding interaktif, mural yang dilukis oleh pelajar, serta kawasan untuk penerokaan, teknologi, pembelajaran senyap, rekreasi, dan didik hibur menggalakkan rasa ingin tahu, kreativiti, dan kolaborasi, mencerminkan usaha kolektif komuniti untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang hidup dan berbudaya.

Guru Besar SK RPS Banun, Mohd Zamarol Ahmad, meluahkan penghargaan: “Realiti dunia luar terasa jauh bagi ramai pelajar kami, tetapi dengan Hab Pembelajaran ini, kami membawa mereka lebih dekat dengan peluang-peluang yang ada. 

"Inisiatif ini menunjukkan langkah besar ke hadapan untuk komuniti kami dan menjadi peringatan yang kuat tentang potensi yang boleh kita capai apabila kita bekerjasama. 

"Bagi pihak sekolah dan komuniti, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Taylor’s College atas sokongan mereka yang amat bermakna. 

"Dana RM20,000 dan projektor-projektor yang disumbangkan akan menambah baik sumber pengajaran kami dan membantu pelajar kami mencapai kejayaan.”



Awal tahun ini (2024), Taylor’s College telah menobatkan Shawn Stanly Anthony Dass sebagai penerima RISE Educator Award 2024. 

Pendidik berdedikasi yang mengajar di sebuah kampung terpencil di Gerik, Perak, ini menerima RM5,000 atas pencapaiannya dan RM20,000 untuk sekolahnya, Sekolah Kebangsaan RPS Banun. 

Selain itu, empat finalis RISE Educator Award 2024 turut menerima RM1,000, dengan tambahan RM10,000 untuk sekolah masing-masing bagi meningkatkan kemudahan atau infrastruktur dalam menyokong persekitaran kondusif untuk pendidikan berkualiti. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
10
0
12
0

Copy Link: