UNIVERSITI Malaysia Terengganu melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melancarkan satu program khas, Bingkas Kasih untuk pelajar-pelajar baharu sesi 2024/2025.

Program tersebut bertujuan membantu para pelajar baharu terutama dalam kalangan pelajar ketegori B40 dan mempunyai latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Program Ziarah Bingkas Kasih yang diadakan pada 20 September 2024 telah menyantuni dua orang pelajar baharu yang berasal dari daerah Gombak, Selangor, iaitu Hanisah Suryadi daripada program Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik beradik.

Kedua-dua ibu bapa Hanisah sudah berusia dan tidak bekerja serta mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. 

Pelajar kedua pula adalah Siti Aina Muhlisa Munzani, pelajar Sarjana Muda Sains (Matematik Gunaan) daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik yang merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik.

Ketika sesi Ziarah Bingkas Kasih diadakan, kedua-dua pelajar terbabit menyatakan penghargaan mereka dan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMT kerana sudi menyampaikan bantuan awal kepada mereka.

Mereka telah menerima wang sumbangan dan bakul rahmah yang mengandungi bekalan makanan asas yang disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.  

Semasa sesi ziarah diadakan, Mohd Zamri turut memberi sokongan dan dorongan kepada para pelajar untuk bergiat aktif menyertai aktiviti kampus bagi merasai pengalaman sebenar sebagai seorang mahasiswa universiti. 



Bingkas Kasih ini merupakan ikhtiar Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi membantu para pelajar baharu terutama dalam kalangan pelajar kategori B40 dan mempunyai latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah.

Data pelajar yang berkeperluan ini telah dikumpul daripada pautan Bingkas Kasih yang telah disediakan khas oleh pihak HEPA UMT bagi memudahkan para pelajar menyalurkan maklumat kekangan mereka terutama dari segi kewangan untuk mendaftar di UMT nanti.

Sehingga kini, sekitar 70 orang pelajar baharu telah mengisi maklumat mereka pada pautan tersebut dan nama-nama mereka akan dipertimbang oleh Seksyen Tajaan dan Kebajikan HEPA bagi mengenal pasti jenis sumbangan dan bantuan awal yang boleh disalurkan kepada mereka.

HEPA UMT telah pun mempraktikan amalan membantu pelajar yang memerlukan sokongan bantuan kewangan seperti biasiswa, Bantuan Dana Siswa dan Bantuan Khas Sara Hidup.

Inisiatif Bingkas Kasih HEPA ini merupakan usaha UMT bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir agar IPT dapat memastikan semua pelajar baharu yang ditawarkan daripada kalangan B40 dan asnaf tidak tercicir serta mendapat akses masuk ke universiti bagi meneruskan impian masing-masing ke menara gading dan ini adalah termasuk menangguhkan yuran pendaftaran mereka.

Usaha ini juga selaras dengan pelancaran beberapa jenis bantuan segera kepada pelajar baharu yang diumumkan oleh Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) awal September 2024 lalu. - KitaReporters

12
9
0
12
0

Copy Link: