Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran bantuan sebanyak RM20.16 juta kepada 63 buah Sekolah Menengah Persendirian (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan atau SMJK) Cina agar mutu pendidikan di sekolah-sekolah tersebut terus ditambah baik demi generasi akan datang.

Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada SMJK Cina Jit Sin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk tujuan yang sama.

"Saya juga menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kekal menjadi tunjang kepada asas negara ini dan mesti diberi tumpuan sepenuhnya. 

"Namun demikian, ia tidak bermakna bahawa bahasa lain dikesampingkan kerana kerencaman dan kepelbagaian kaum, agama dan bahasa yang wujud di Malaysia mesti terus diraikan dan menjadi sumber dan nadi perpaduan dalam kalangan rakyat," tegasnya.



Terdahulu, Perdana Menteri pulang ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin pada 11 Januari 2025 sambil menghimbau kenangan menjadi guru sandaran Bahasa Melayu.

"Saya sempat menyanyikan lagu sekolah bersama warga sekolah yang saya masih hafal rangkap pertama liriknya," katanya lagi.

Anwar juga berkata, dalam ucaptamanya, beliau menyentuh tentang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan perkembangan industri teknologi hijau di rantau ini. 

"Saya mahu pelajar dan anak-anak untuk tidak terus ketinggalan dan mesti berusaha lebih gigih merangkul peluang yang wujud dalam meneroka pelbagai disiplin dan industri yang kini menjadi tuntutan zaman," katanya.

Akhir sekali, Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada hujung bulan Januari 2025 ini kepada semua yang hadir. - KitaReporters/Kenyataan Media



15
11
0
13
0

Copy Link: