Tahniah USIM! Dua produk inovasi terima pengiktirafan khas ITEX 2023! Ciptaan ICE Box dan BioCast!
Published byDua daripada empat produk inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dipertanding di Pameran Ciptaan, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 di Kuala Lumpur baru-baru ini menerima pengiktirafan khas, iaitu Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori Institusi Pendidikan dan Universiti melalui inovasi Indoor Comfort Environment Box (ICE Box) dan Anugerah Inovasi Terbaik melalui produk inovasi ‘BioCast’ dari Patent office of the Cooperation Council for the Arab States of the Gulf.
Kedua-dua inovasi tersebut turut menerima anugerah pingat emas.
Profesor Dato' Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM yang hadir ke majlis penyerahan anugerah itu berkata, beliau mengharapkan agar para penyelidik terus bersemangat menghasilkan inovasi-inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan menaikkan nama universiti khususnya dan negara amnya.
Menurut Profesor Madya Ar. Dr. Elina Mohd Husini, selaku Ketua penyelidik Produk inovasi ICE Box, ICE Box ialah sistem yang berfungsi untuk menyejukkan ruang ke tahap keselesaan penghuni hasil daripada perubahan haba termostat dari cecair ke ais yang direka bentuk secara modular.
Sistem yang dijana dari sumber solar atau grid mengurangkan pengeluaran karbon juga sebagai bateri untuk penyimpanan tenaga termal untuk penukaran fungsi penyejukan pada waktu malam dan penukaran haba ke sistem air panas pada siang hari untuk sesebuah penempatan.
“Menariknya, sistem ini telah dijalankan melalui tiga fasa iaitu dalam saiz yang berskala besar dengan kerjasama industri, seterusnya ditambah baik reka bentuk dan sistem yang dikhaskan penggunaannya untuk sebuah rumah dan peringkat penyesuaian rupa produk bagi kegunaan pada ruang awam.
"Sistem ini telah diuji pada iklim yang berbeza; tropika dan empat musim semasa pembinaan dalam pertandingan Rumah Solar Di Dubai 2018.
"Hasilnya menunjukkan permintaan elektrik puncak, dan dengan itu menjimatkan tenaga, sambil mengekalkan tahap keselesaan penyejukan yang sama. Apa yang penting, sistem ini dapat memberi peluang kepada setiap penghuni menikmati tahap keselesaan yang optimum dan memberi peluang kepada pengusaha perumahan dengan kaedah penjimatan ini”, ujarnya lagi.
Sementara
itu, Ts. Dr. Mohd Ifwat Mohd Ghazali berkata, inovasi BioCast yang turut
dianugerahkan Anugerah Inovasi Terbaik (Best Invention Award) dari Patent
office of the Cooperation Council for the Arab States of the Gulf, merupakan
kas lengan (arm cast) yang diperbuat daripada PHB, polimer semula jadi yang
diperoleh daripada sisa makanan, dan resin berasaskan urethane dimethacrylate
(UDMA).
“Mengikut
pengalaman pesakit yang mengalami patah tulang lengan yang menggunakan BioCast
ini, tempoh penyembuhan yang mampan dan lebih selesa dirasai mereka dimana
ia disesuaikan mengikut dimensi dan keperluan pesakit".
“Malah, produk yang dicetak secara 3D ini di mana reka bentuk pengudaraan dan kebersihannya juga membantu mengurangkan potensi risiko komplikasi semasa proses penyembuhan.
"Ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada pesakit, tetapi juga mesra alam. PHB boleh terbiodegradasi, menjadikannya pilihan yang lebih mampan berbanding tuangan tradisional yang diperbuat daripada sumber tidak boleh diperbaharui”, ujar Dr. Ifwat selaku Ketua Penyelidik.
Turut
menangi anugerah dua lagi produk inovasi yang dipertanding iaitu Celf
Biofilm dan Eco Caldent yang menangi anugerah Emas dan Perak bagi kategori produk
tersebut.
Pameran yang bertemakan 'Teknologi Membalikkan Perubahan Iklim' itu berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan 700 penyertaan reka cipta dari pelbagai institusi dan individu dari pelbagai negara.
Ia dilaksanakan serentak dengan World Young Inventors Exhibition atau Pameran Pencipta Muda Sedunia (WYIE) yang menghimpunkan pereka cipta generasi muda dari Malaysia dan seluruh dunia. - KitaReporters/USIM